
DUA wanita tabah yang pernah berasa kehilangan anak istimewa kandung, kini mengisi kekosongan hati dengan mengasuh sepasang anak kembar sindrom Down sebagai anak angkat.
Kisah mereka bukan sekadar pengorbanan tetapi lambang kasih sayang dan kekuatan luar biasa seorang ibu yang memilih untuk bangkit daripada kesedihan yang dirasai.
Segalanya bermula apabila seorang wanita, Raihan Kamaruddin, 47, dari Ipoh, kehilangan anak perempuannya, Jasmin yang menghidap sindrom Down dan dilahirkan dengan masalah jantung serta saluran dubur tidak sempurna.
“Jasmin menjalani tiga pembedahan jantung dan dirawat di hospital sejak lahir sehinggalah dia meninggal dunia ketika berusia satu tahun.
"Selepas pemergian Jasmin, saya benar-benar hilang arah. Hampir dua tahun saya terperangkap dalam kesedihan," kata Raihan yang bekerja di sebuah firma guaman.
BACA LAGI: WAO dedah bahaya pengantunan seksual, ibu bapa jangan abai 'red flag' khuatir anak jadi mangsa
Namun, satu lawatan ke sebuah rumah kebajikan swasta di Kuala Lumpur yang dibuat atas jemputan pihak pengurusan rumah itu telah mengubah kehidupan sekeluarga.
Bersama suami, Ahmad Nazri Md Rejab dan anak remaja mereka, Raihan dipertemukan dengan sepasang bayi kembar perempuan berusia tiga bulan yang menghidap sindrom Down.
"Sebaik melihat adik kepada pasangan kembar itu, hati kami terus tertawan. Naluri keibuan saya kembali hidup," katanya.
Dengan persetujuan ibu kandung bayi tersebut iaitu seorang wanita warga asing, Raihan dan suaminya mengambil keputusan untuk mengangkat bayi itu sebagai anak mereka dan menamakannya Dahlia Diyani Naa'ira.
Namun jauh di sudut hati, Raihan dihantui kebimbangan terhadap nasib si kakak, Orked Diyan Nahila, yang akan tinggal keseorangan di rumah anak yatim selepas ibunya pulang ke negara asal.
Tanpa berlengah, Raihan menghubungi rakan baiknya, Wati Hamzah, 47, yang juga pernah mengalami nasib sama apabila kehilangan anak perempuannya akibat leukemia pada 2015.
"Saya tanya Wati, adakah dia sanggup menjaga kakak kepada Dahlia. Alhamdulillah, dia dan suaminya bersetuju," kata Raihan.
Wati, yang menetap di Melaka bersama suaminya, Norizal Salleh, seorang pemandu lori terus membawa pulang anak kecil itu dan menamakan Nur Adriana Diyan iaitu nama yang dipilih bersempena dengan nama anak mereka yang sudah tiada.
Kini, selepas sembilan tahun, kedua-dua anak istimewa itu membesar dalam dua keluarga berbeza namun tetap akrab seperti tidak pernah dipisahkan.
Mereka akan disatukan setiap kali menyambut ulang tahun kelahiran dan Hari Raya demi mengekalkan kesan kembar yang unik itu.
"Kami tak mahu mereka terpisah secara emosi. Mereka sangat rapat, walaupun seorang tidak boleh bercakap secara langsung dan seorang lagi hanya mempunyai pertuturan terhad. Tetapi mereka ada cara komunikasi sendiri yang luar biasa," kata Wati.
Kedua-dua keluarga kini akrab seperti saudara dan menganggap anak-anak angkat istimewa itu sebagai anugerah yang menyatukan mereka.
"Kami kini seperti satu keluarga besar. Segala yang terjadi ada hikmahnya," ujar Wati penuh syukur.
Namun, kebimbangan masih dirasai di hati Raihan apabila permohonan kewarganegaraan untuk Dahlia masih belum diluluskan sehingga kini.
"Anak Wati telah mendapat kewarganegaraan kerana proses pengambilan anak dibuat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Tetapi permohonan untuk Dahlia masih belum selesai kerana kami mengambilnya terus daripada ibu kandung dan rumah kebajikan,” jelasnya. — The Star/WANI MUTHIAH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram