
DUA kanak-kanak perempuan kembar siam dari Filipina, Klea dan Maurice Ann Misa bakal menjalani pembedahan pemisahan berisiko tinggi di Arab Saudi dengan seluruh kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negara itu.
Pasangan kembar itu dijadualkan berlepas ke Riyadh pada Sabtu untuk menerima rawatan di sebuah pusat perubatan terkemuka di bawah Kementerian Pengawal Kebangsaan Arab Saudi, King Abdulaziz Medical City.
Pembedahan kompleks itu akan diketuai oleh pakar bedah pediatrik ternama, Dr. Abdullah Al Rabeeah yang juga merupakan ketua bagi pasukan pakar dalam bidang pemisahan kembar siam.
BACA LAGI: [VIDEO] Hanya modal RM150, ibu 3 anak tunjuk skil DIY buat 'wall skirting'
— farah (@araauni) May 17, 2025
Al Rabeeah turut berperanan sebagai Penyelia Umum Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSRelief).
Klea dan Maurice Ann berusia 7 tahun itu merupakan pasangan kembar siam perempuan ketiga dari Filipina yang mendapat manfaat daripada Program Pemisahan Kembar Siam Arab Saudi.
Program itu merupakan satu inisiatif kemanusiaan yang berada di bawah naungan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud serta Perdana Menteri dan Putera Mahkota, Mohammed Salman Abdulaziz.
Menurut Kedutaan Arab Saudi di Manila, program itu bukan sahaja mencerminkan komitmen negara berkenaan terhadap bantuan kemanusiaan sejagat, malah mengukuhkan lagi hubungan mesra dan kerjasama strategik antara Arab Saudi dan Filipina dalam bidang kesihatan.
"Ia mencerminkan semangat solidariti dan nilai kemanusiaan sejagat yang sentiasa diperjuangkan oleh Kerajaan Arab Saudi," jelas kenyataan kedutaan.
Sehari sebelum keberangkatan, pasangan kembar dan kedua ibu bapa mereka telah mengunjungi Kedutaan Arab Saudi di Manila.
Mereka disambut oleh Duta Besar Faisal Ebraheem Alghamdi yang bertanyakan keadaan kesihatan anak-anak tersebut dan menzahirkan harapan agar pembedahan berjalan lancar.
Keluarga Misa pula menyampaikan rasa terima kasih yang tidak terhingga atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan.
Sejak ditubuhkan pada 1990, Program Pemisahan Kembar Siam Arab Saudi telah berjaya memisahkan 146 kanak-kanak kembar Siam dari 27 negara di seluruh dunia.
Pada tahun lalu, pasangan kembar perempuan dari Filipina, Ayeesha dan Akhizah Yusoph turut berjaya dipisahkan dalam satu pembedahan di Riyadh diketuai oleh Dr. Al Rabeeah.
Dengan kepakaran bertaraf dunia dan sokongan padu kerajaan, Arab Saudi kini diiktiraf sebagai antara pusat utama dalam pemisahan kembar siam yang membuka harapan baharu buat keluarga yang diuji dengan cabaran luar biasa ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram