‘Tidur rumah cikgu untuk hafal skrip’, Mimi Lana kenang jasa Cikgu Julia cungkil bakat, bawa ke pertandingan bercerita


  • Cinta
  • Sabtu, 17 Mei 2025

Mimi mula menempa nama dalam industri lakonan tanah air selepas menyertai Dewi Remaja 2014/2015. —  Instagram/@missmimilana

PELAKON, Mimi Lana, menyifatkan guru sekolah rendahnya sebagai individu pertama mencungkil bakatnya dalam dunia seni ketika beliau dikenali sebagai 'budak nakal' di bilik darjah.

Menurut Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, guru yang dikenali sebagai Cikgu Julia bukan sekadar mengajar mata pelajaran Matematik, malah menjadi figura penting melihat potensi dirinya sendiri yang mana tidak disedari ramai ketika itu.

“Waktu itu saya masih sekolah rendah dan agak nakal. Tapi cikgu Matematik bukan sahaja guru tapi beliau sangat-sangat percaya pada potensi diri saya. 

"Beliaulah orang pertama lihat bakat saya dan selalu bawa saya sertai pertandingan bercerita," katanya selepas menghadiri pelancaran koleksi terbaharu FILA di Kuala Lumpur pada Jumaat.

BACA LAGI: [VIDEO] Ibu bapa perlu ambil tahu, ada 2 hukum berbeza ketika mandikan janin bayi yang gugur dalam kandungan

BACA LAGI: 'Dearest mama, ratu hatiku', Fasha Sandha kongsi momen bersama ibu sempena hari lahir

Isteri kepada pelakon, Syafiq Kyle itu turut mengenang pengorbanan gurunya yang sanggup meluangkan masa di luar waktu persekolahan demi memastikan dirinya bersedia menghadapi pertandingan.

“Beliau pernah bawa saya tidur di rumahnya semata-mata untuk bantu saya hafal skrip," kata wanita berusia 30 itu lanjut.

Tidak bergantung suplemen

Dalam perkembangan berlainan, berkongsi gaya hidupnya, Mimi berkata, beliau sentiasa memberi keutamaan kepada kecergasan fizikal, terutama apabila terlibat dalam penggambaran filem aksi.

“Saya akan ke gim kalau ada projek besar yang perlukan stamina. Tapi kalau tiada pun, saya tetap cuba kekalkan rutin tu,” katanya yang kini sedang membuat persiapan untuk filem seram Polong yang dijangka memulakan penggambaran bulan depan.

Tambahnya lagi, beliau lebih selesa memilih gaya hidup sihat secara semula jadi berbanding bergantung kepada makanan tambahan.

“Saya tak ambil suplemen secara sembarangan. Saya percaya pada pemakanan natural seperti sayur, protein yang cukup dan paling penting, air kosong yang banyak,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram