'Masih bermakna walaupun sampah', Christie Basil hasilkan busana buat Rossa daripada sisa tekstil


  • Gaya
  • Sabtu, 17 Mei 2025

Christie mengakui terkejut apabila dihubungi Rossa untuk menghasilkan gaun sepenuhnya daripada sisa tekstil. — Instagram/@christiebasill

DARIPADA sisa tekstil yang dibiarkan terkumpul di dalam beg, terhasil sebuah rekaan yang sangat mengagumkan.

Itulah sentuhan magis yang dibawakan oleh pereka fesyen muda dari Indonesia, Christie Basil, apabila menghasilkan dua busana eksklusif khas buat penyanyi, Datuk Seri Rossa.

Ia bukan dari fabrik baharu, tetapi daripada sisa tekstil pelanggannya yang terdahulu, sekali gus membuktikan bahawa wanita berusia 30 tahun itu berani tampil dengan gabungan gaya dan keprihatinan terhadap alam sekitar.

BACA LAGI: Terma penting dalam industri, ini 7 istilah fesyen patut diketahui

BACA LAGI: [VIDEO] Lain daripada yang lain, murid hadiahkan ikan bernilai lebih RM300 sempena Hari Guru di Pulau Tioman

Christie mengetengahkan elemen 3D di dalam busana pertama direka khas buat Rossa. — Instagram/@christiebasill

Usahanya amat relevan, apatah lagi ketika ini industri fesyen menjadi penyumbang utama kepada pencemaran global.

Ia terbukti menerusi laporan Earth.org yang menunjukkan sekitar 92 juta tan sisa tekstil dibuang ke tapak pelupusan setiap tahun di seluruh dunia. 

Malah, data dari Ellen MacArthur Foundation pada 2021 mendedahkan hanya 1 peratus pakaian yang dikitar semula menjadi pakaian baharu. 

Busana tersebut diperagakan Rossa dalam sebuah acara muzik baru-baru ini dan bukan sahaja memikat dari segi rekaan, malah membawa mesej penting mengenai kelestarian dalam industri fesyen.

Christie atau nama sebenarnya Fransiska Christie Basil, merupakan lulusan bidang fesyen dari Universiti Northumbria di United Kingdom (UK).

Pengasas kepada jenama Atvezzo dan By Christie Basil itu turut berkongsi proses kreatif di sebalik penghasilan dua busana tersebut menerusi satu hantaran di Instagramnya.

Busana pertama yang direka untuk Rossa menampilkan motif flora tiga dimensi (3D), dihasilkan daripada cebisan kain bercorak bunga yang dijahit dengan teliti untuk memberikan kesan timbul.

Busana kedua tampil lebih glamor dengan rona hitam serta sentuhan labuci. — Instagram/@christiebasill

Sementara itu, busana kedua pula merupakan gabungan elemen glamor seperti perincian labuci dan kain net.

Bahagian atasnya berpotongan korset yang membentuk siluet tubuh penyanyi terlibat, manakala bahagian bawah pula menggabungkan hiasan manik serta net, mencipta kesan visual yang memukau di pentas.

"Hasil akhirnya begitu mengagumkan sehingga semasa sesi pemasangan pakaian, ramai yang tidak percaya ia dibuat sepenuhnya daripada bahan buangan," ujarnya dalam video berkenaan.

Christie juga berkongsi bahawa Rossa sendiri meminta agar pakaian tersebut dibuat menggunakan bahan mesra alam.

Sebagai peminat fesyen serta pengumpul pakaian, beg dan aksesori mewah, Rossa sedar akan pandangan negatif yang semakin membimbangkan terhadap pembaziran dalam dunia fesyen.

“Pakaian yang paling bermakna dalam almari seseorang selalunya ialah yang mempunyai kenangan istimewa, bukan semata-mata kerana jenama atau batu permata,” jelas Christie.

Rekaan itu  juga mendapat inspirasi daripada konsert solo terakhir Rossa yang menekankan nilai emosi dan cerita di sebalik pakaian.

Menurut Christie, walaupun sampah, jika diproses dengan baik, ia boleh menjadi sesuatu yang bernilai dan penuh makna. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram