Bayi mampu bentuk memori tapi sukar ingat apabila meningkat dewasa — Kajian


  • Bonda
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Hubungan awal antara ibu dan bayi memainkan peranan penting dalam perkembangan kognitif dan memori anak. — Gambar hiasan/Freepik

TAHUN-tahun awal kehidupan adalah tempoh pembelajaran yang sangat pesat.

Namun, kebanyakan individu tidak dapat mengingati pengalaman pada fasa tersebut yang dikenali sebagai amnesia bayi.

Sebuah kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal Science mencabar tanggapan ini. Kajian tersebut mendapati otak bayi sebenarnya sudah mampu membentuk memori.

BACA LAGI: Berani ambil risiko, cermin mata hitam antara 6 tip serlah penampilan bergaya, elegan

BACA LAGI: Seni hiasan 'handmade' penuh jiwa, warna terang dari Afrika beri nafas baharu pada dekorasi rumah moden

A newborn baby who opens his eyes and looks sideways

Menatap lama pada objek menunjukkan bayi mengingati sesuatu dikenali. — Gambar hiasan/Freepik

Persoalannya, mengapa memori ini sukar diingat apabila dewasa?

“Saya tertarik dengan ‘kekosongan misteri’ dalam sejarah hidup kita,” kata Profesor Nick Turk-Browne dari Universiti Yale, Amerika Syarikat (AS) yang juga ketua penyelidik kajian berkenaan.

Keupayaan belajar tanpa ingatan kekal

Sekitar usia setahun, kanak-kanak mula bertutur, berjalan dan mengenal dunia sekeliling. Namun, mereka tidak menyimpan memori kekal daripada pengalaman ini.

Turk-Browne menyatakan keadaan ini menunjukkan percanggahan antara kebolehan belajar yang tinggi dan ingatan yang tidak kekal.

Pandangan lama oleh Sigmund Freud mencadangkan memori awal ditekan secara tidak sedar, tetapi teori tersebut ditolak.

Kini, penyelidikan menumpukan pada hipokampus, iaitu bahagian otak penting untuk memori yang belum matang sepenuhnya pada usia bayi.

Petunjuk kajian sebelumnya

Turk-Browne mendapat inspirasi daripada kajian tingkah laku terdahulu.

Bayi, walaupun belum boleh bercakap, menunjukkan tanda mereka mengingati sesuatu melalui tindak balas visual, seperti menatap lama pada objek yang dikenali.

Kajian terhadap tikus menunjukkan engrams (corak sel otak yang menyimpan memori) terbentuk dalam hipokampus sejak awal, namun menjadi sukar dicapai dari masa ke masa.

Teknologi tertentu boleh mengaktifkan semula memori ini melalui rangsangan cahaya.

Little cute boy proud when he finish drawing with happiness, raised two hands over his head and smile, preschool at home

Memori awal mungkin kekal sehingga usia sekitar tiga tahun. — Gambar hiasan/Freepik

Pendekatan kreatif dalam kajian bayi

Kesukaran utama kajian otak bayi ialah mereka tidak mampu duduk diam di mesin Pengimejan Resonans Magnetik Berfungsi (fMRI).

Bagi mengatasi hal ini, pasukan penyelidik menggunakan teknik seperti puting tiruan, selimut, anak patung, corak visual yang menarik dan bantal sokongan untuk mengekalkan posisi.

Meskipun terdapat gangguan pergerakan, data yang mencukupi dikumpul melalui ratusan sesi.

Kajian melibatkan 26 bayi yang mana separuhnya berumur bawah setahun dan separuh lagi melebihi setahun.

Ujian memori dijalankan menggunakan gambar wajah, pemandangan atau objek.

Selepas beberapa paparan, gambar lama dipadankan dengan gambar baharu. Masa bayi melihat gambar lama dijadikan petunjuk sama ada mereka mengingatinya.

Keputusan menunjukkan bahawa hipokampus aktif dalam kalangan bayi berumur lebih setahun, terutamanya mereka yang menunjukkan prestasi terbaik dalam ujian memori.

Aktiviti ini tidak dikesan dalam kalangan bayi yang lebih muda.

“Kajian ini membuktikan bahawa bayi mula menyimpan memori melalui hipokampus seawal usia setahun,” kata Turk-Browne.

Memori awal terpadam atau sembunyi?

Penyelidik lain menyambut baik kajian ini. Namun persoalan utama kekal, adakah memori awal tidak pernah disimpan atau masih wujud tetapi tersembunyi?

Turk-Browne lebih cenderung kepada teori bahawa memori itu masih ada, tetapi tidak mudah dicapai.

Beliau kini mengetuai kajian baharu untuk menguji sama ada bayi dan kanak-kanak boleh mengenal pasti video yang dirakam dari sudut pandangan mereka sendiri ketika lebih muda.

Penemuan awal yang masih belum muktamad menunjukkan bahawa memori awal mungkin kekal sehingga usia sekitar tiga tahun.

Turk-Browne optimis bahawa memori ini berpotensi untuk diaktifkan semula ketika dewasa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram