Berani ambil risiko, cermin mata hitam antara 6 tip serlah penampilan bergaya, elegan


  • Maya
  • Rabu, 14 Mei 2025

Dalam penggayaan juga memerlukan beberapa tip agar tambak lebih yakin dan sesuai dengan gaya peribadi. — Gambar hiasan/Freepik

MAHU bergaya tapi sering rasa tidak yakin atau keliru dengan padanan pakaian?

Mungkin anda sedang mencari gaya peribadi atau mahu tampil menarik tanpa perlu mengikut trend semata-mata.

Tidak kira sama ada anda biasa dengan dunia fesyen atau tidak, terdapat beberapa prinsip mudah boleh diikuti untuk kelihatan lebih yakin dan bergaya.

Berikut antara enam tip dikongsikan oleh pakar fesyen, pereka terkenal dan pempengaruh.

BACA LAGI: [VIDEO] Kasih sampai syurga, meski bertambah usia ibu juga perlukan susuk seorang ibu

BACA LAGI: Pernah dinobat gadis tercantik di dunia, Thylane Blondeau kini miliki empayar fesyen dan kecantikan tersendiri

Sebelum tergesa-gesa membeli pakaian baharu, baca dulu panduan ini.

Anda mungkin akan menemui semula keyakinan dalam berpakaian dan paling penting dapat mengelakkan pembaziran serta kesilapan dalam penampilan.

Pemilihan gaya dan warna ideal menyerlahkan penampilan seseorang. — Gambar hiasan/@fatimahzahraothman

1. Berani ambil risiko dalam berpakaian

Apabila usia meningkat, ramai berasakan mereka perlu mengikut peraturan fesyen tertentu.

Namun, kadangkala peraturan itu boleh dilanggar. Cuba keluar dari zon selesa. Pilih satu hari dalam seminggu untuk mencuba padanan pakaian berbeza daripada kebiasaan.

Semasa membeli-belah, jika tertarik dengan sesuatu yang mungkin tidak sesuai dengan anda, cuba juga pakaian itu di bilik persalinan.

Ramai penata gaya berkata, pelanggan sering tertarik dengan pakaian yang pada awalnya mereka anggap tidak sesuai dengan gaya sendiri.

Tidak kira apa yang sedang 'in', kekalkan dengan gaya peribadi. — Gambar hiasan/Freepik

2. Jangan beli gaya tidak disukai

Kadangkala kita mudah terpengaruh apabila ramai memakai sesuatu gaya. Tetapi jangan beli pakaian hanya kerana ia ‘trending’.

Sebaliknya, tanya diri sendiri, "adakah gaya ini sesuai dan selesa?.

Kata personaliti fesyen, Natalie Halcro, anda patut kekal dengan apa yang disukai dan apa yang sesuai dengan bentuk badan.

Ia bukan sahaja menjimatkan duit, malah mengelakkan almari dipenuhi pakaian tidak dipakai.

Biasakan membeli beberapa pakaian berkualiti tahan lama berbanding murah, tetapi cepat rosak. — Gambar hiasan/Freepik

3. Utamakan pakaian berkualiti

Anda tidak perlu banyak pakaian untuk kelihatan bergaya. Fokus kepada membeli pakaian berkualiti tinggi yang boleh dipakai untuk jangka masa panjang.

Walaupun harganya sedikit mahal, ia adalah pelaburan berbaloi.

Contoh pakaian berkualiti termasuk jaket kulit, kot tebal, beg tangan, kasut dan tali pinggang yang tahan lama.

Ingat, kualiti lebih penting daripada kuantiti.

Setiap jenama ada potongan berbeza, jadi elak bergantung kepada saiz sama. — Gambar hiasan/Agensi

4. Jangan terlalu ambil peduli nombor saiz

Ramai orang beranggapan bahawa mereka perlu ‘kekal’ dalam satu saiz. Namun hakikatnya, setiap jenama mempunyai potongan dan ukuran berbeza.

Penata gaya, Michael O’Connor menasihatkan agar jangan terlalu taksub dengan nombor pada tag.

Yang penting, pakaian itu betul-betul muat dan selesa dipakai. Saiz hanyalah nombor, keselesaan dan padanan sebenar jauh lebih utama.

Selain fungsi melindungi dari matahari, cermin mata hitam mampu meningkatkan gaya penampilan. — Gambar hiasan/@khaininakhalil

5. Sentiasa bawa cermin mata hitam

Cermin mata hitam bukan hanya bergaya, ia juga berguna untuk hari-hari apabila anda rasa lesu, kurang tidur atau mahu menutup mata yang penat.

Seperti jean, anda perlu cari bentuk cermin mata hitam yang paling sesuai dengan bentuk muka.

Ia juga berfungsi untuk melindungi mata daripada cahaya matahari, sekali gus menaikkan keseluruhan penampilan.

Aksesori tidak semestinya bermain dengan barang kemas, malah sweater juga berperanan sebagai pelengkap gaya. — Gambar hiasan/@sharifahrose_

6. Gunakan pakaian sebagai aksesori

Fesyen juga memerlukan pemikiran luar kotak.

Sweater atau cardigan boleh dijadikan aksesori menarik. Contohnya dengan melilit pada bahu atau mengikatnya secara kreatif.

Kata penata gaya, Polly Banks, pakaian tersebut boleh menambah warna dan tekstur pada gaya anda.

Ia juga cara mudah untuk nampak lebih bergaya tanpa perlu membeli aksesori tambahan.

Wanita yang paling bergaya selalunya tidak obses dengan trend semasa.

Sebaliknya, mereka tahu apa yang sesuai dengan diri mereka dan bijak memilih pakaian tahan lama, selesa dan menyerlahkan keyakinan diri.

Ikuti tip ini. Siapa tahu mungkin anda akan menerima lebih banyak pujian sambil berasa lebih yakin setiap kali melangkah keluar rumah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram