Bukan lagi Thailand! Malaysia kini jadi tumpuan 'mat salih' cari calon isteri idaman, ini sebabnya...


  • Maya
  • Selasa, 13 Mei 2025

Wanita dari Malaysia kini jadi tumpuan mat salih untuk mendirikan rumah tangga. — Gambar Hiasan

ISU jejaka Barat mencari pasangan hidup dari negara luar menjadi perbincangan hangat dalam talian baru-baru ini.

Ramai yang menganggap Thailand destinasi utama untuk mencari isteri 'tradisional', namun ada segelintir lelaki kini mengalihkan perhatian ke Malaysia khususnya menjadikan wanita tempatan sebagai pasangan hidup.

Pandangan itu disuarakan oleh beberapa warganet yang memperincikan sebab wanita Malaysia terutamanya dalam kalangan etnik Cina semakin menjadi pilihan ramai.

BACA LAGI: [VIDEO] Terima 10,000 unit saham, rumah sebagai mas kahwin, wanita Indonesia kahwini jejaka mat salih buat ramai cemburu

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sejuk perut ibu mengandung', warganet puji anak kecil bijak berselawat, sifatkan ibu bapa lain wajar contohi

Menurut beberapa pengguna laman media sosial Reddit, wanita Malaysia khususnya yang berasal dari kalangan etnik Cina dilihat lebih terbuka untuk berkahwin dengan lelaki warga asing.

Mereka menganggap para wanita di negara ini sangat menghargai nilai kekeluargaan, kesetiaan dan kehidupan lebih sederhana, ciri-ciri utama dianggap tradisional oleh 'mat salih' yang mencari pasangan hidup berkualiti.

Wanita Malaysia dianggap lebih mudah menerima jejaka Barat sebagai pasangan hidup dan perkara itu membuka peluang untuk hubungan lebih harmonis dan berterusan.

Sebagai contoh, beberapa individu berkongsi pengalaman mengenai kisah mat salih yang telah berkahwin dengan wanita Cina dari Malaysia.

Mereka menyatakan bahawa meskipun lelaki tersebut tidak mempunyai ciri-ciri fizikal luar biasa, perkahwinan mereka tetap berbahagia menunjukkan wanita Malaysia boleh menerima mat salih tanpa mengira penampilan fizikal semata-mata.

Wanita Malaysia sering dilihat mempunyai kualiti diinginkan oleh ramai lelaki mengutamakan pasangan hidup lebih bertanggungjawab dan berdedikasi.

Sifat-sifat seperti kesetiaan, penjagaan keluarga serta keupayaan untuk menyokong pasangan dalam segala hal menjadi faktor utama menarik perhatian ramai jejaka Barat.

Ciri-ciri itu dilihat serasi dengan konsep perkahwinan yang lebih tradisional iaitu mementingkan peranan sebagai ibu dan isteri.

Walaupun semakin ramai wanita Malaysia berpendidikan tinggi dan berkerjaya, nilai-nilai tradisional tetap dipegang teguh dalam masyarakat.

Untuk lelaki asing yang berminat mencari calon isteri tradisional di Malaysia, beberapa saranan turut diberikan oleh pengguna di laman berkenaan.

Seorang pengguna mengingatkan agar menghindari penggunaan aplikasi temu janji atau berkunjung ke kelab malam kerana tempat-tempat tersebut dikatakan lebih cenderung menarik wanita yang tidak sesuai dengan kehendak mereka.

Sebaliknya, mereka menyarankan agar menyertai aktiviti sosial  lebih santai seperti menyertai kelas hobi atau aktiviti komuniti  membolehkan mereka dapat berinteraksi dengan wanita tempatan dalam suasana yang lebih santai.

Di samping itu, mereka juga mencadangkan untuk lebih berani mendekati wanita bekerja di tempat awam seperti di pusat beli-belah atau restoran kerana itu memberi peluang untuk mengenali dengan cara lebih mudah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram