'Jangan bertengkar dengan sesiapa', wanita tertua dunia berusia 115 tahun dedah 'rahsia' panjang umur


  • Maya
  • Rabu, 14 Mei 2025

Beliau memakai mahkota yang tertera nombor '115' sebagai simbol usianya dan meraikan statusnya sebagai manusia tertua di dunia. — Facebook/Hallmark Lakeview Luxury Care Home

TIDAK pernah bertelagah menjadi salah satu 'rahsia' untuk panjang umur bagi wanita berusia 115 tahun, Ethal Caterham.

Beliau diiktiraf sebagai manusia tertua di dunia oleh Gerontology Research Group (GRG) selepas kematian Inah Canabarro, seorang biarawati dan guru dari Brazil yang meninggal dunia pada 30 April lalu pada usia 116 tahun.

"Jangan bertengkar dengan sesiapa. Saya dengar (apa orang cakap) dan buat apa yang saya suka," kata beliau yang menetap di sebuah rumah jagaan warga emas di Surrey dekat barat daya London ketika ditanya tentang rahsia umurnya yang panjang.

BACA LAGI: Bukan lagi Thailand! Malaysia kini jadi tumpuan 'mat salih' cari calon isteri idaman, ini sebabnya...

BACA LAGI: Hati-hati mesin basuh tidak fungsi dengan baik berisiko sebar bakteria, alami jangkitan kulit, radang paru-paru — Kajian

Beliau kini menetap di sebuah rumah jagaan warga emas di Surrey dekat barat daya London. — Facebook/Hallmark Lakeview Luxury Care Home

Ethel dilahirkan pada 21 Ogos 1909 di Kampung Shipton Bellinger dekat selatan England, lima tahun sebelum tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Beliau merupakan anak kedua bongsu daripada lapan beradik.

Minat mengembara memang sudah sebati dalam dirinya. Pada tahun 1927 ketika berusia 18 tahun, Ethel pergi ke India untuk bekerja sebagai pengasuh kepada sebuah keluarga British.

Beliau tinggal di sana selama tiga tahun sebelum pulang ke England.

Pada 1931, Ethel bertemu dengan suaminya, Norman, pegawai tentera berpangkat major dalam tentera British pada sebuah majlis makan malam.

Pasangan tersebut kemudiannya menetap di Hong Kong dan Gibraltar sebelum pulang ke Britain untuk membesarkan dua anak perempuan mereka.

Namun, suaminya meninggal dunia pada tahun 1976.

Baru-baru ini, Rumah Jagaan Hallmark Lakeview Luxury Care Home di Camberley di mana tempat Ethel tinggal, memuat naik gambar beliau sedang memotong kek dan memakai tiara tertera nombor '115' di hantaran Facebook.

"Tahniah buat penghuni Lakeview, Ethel kerana menjadi manusia tertua di dunia! Ini satu pencapaian luar biasa dan bukti kepada kehidupan yang penuh makna.

"Kekuatan, semangat dan kebijaksanaan anda menjadi inspirasi kepada kami semua. Mari kita raikan perjalanan hidup anda yang sangat mengagumkan," tulis mereka.

Menurut Guinness World Records, rekod manusia tertua sepanjang sejarah masih dipegang oleh seorang wanita Perancis, Jeanne Calment yang hidup sehingga usia 122 tahun 164 hari. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram