
DI Itali, amalan meminta hidangan minuman kopi selepas waktu tengah hari berpotensi mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat tempatan.
Malah, di sesetengah tempat, ekspresi ketidaksenangan penduduk negara itu terhadap perbuatan sedemikian turut terzahir di wajah mereka.
Namun, pandangan sama tidak dikongsikan oleh wanita yang dinobatkan barista tertua di Itali, Anna Possi.
BACA LAGI: Survival tukang jahit, dulu nak dekat raya makin rancak kini suram, bersaing jualan online
BACA LAGI: Wau buatan pemuda Selayang pernah disewa hingga cecah RM25,000, tarik minat pembeli warga Perancis
Wanita berusia 100 tahun yang telah mengusahakan sebuah kafe di atas Tasik Maggiore selama lebih setengah abad, tidak mempunyai bantahan terhadap penyediaan hidangan cappuccino selepas waktu tengah hari, yang secara tradisinya tidak boleh diterima di negara Eropah itu.
Persoalan minuman kopi jenis cappuccino masih boleh diminum selepas tengah hari adalah antara isu besar dalam dunia kopi. — Agensi
"Siapa saya untuk memberitahu tetamu bila dan jenis kopi apa yang mereka perlu minum.
"Semua orang bebas melakukan apa sahaja mengikut kehendak mereka," jelas Anna.
Persoalan sama ada minuman kopi jenis cappuccino – hidangan espreso dalam cawan lebih besar dengan susu berbuih – masih boleh diminum selepas tengah hari adalah salah satu isu besar dalam dunia kopi.
Hidangan kopi latte, cappuccino atau flat white pada waktu petang adalah perkara biasa di banyak negara, tetapi di Itali yang mana terdapat lebih daripada 130,000 bar kopi, minuman kopi bersama susu selepas tengah hari tidak digemari di kebanyakan bahagian negara berkenaan.
Sebagai amalan tradisi, hanya espreso - minuman yang disediakan daripada inti pati kopi - boleh diminum pada waktu petang.
Bagaimanapun, amalan itu telah dilonggarkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apatah lagi kerana kehadiran ramai pelancong.
Anna yang juga pemilik Bar Centrale di Nebbiuno, telah mengendalikan mesin kopi di premis berkenaan sejak 1958 bagaimanapun mempunyai pandangan lebih terbuka tentang perkara tersebut.
Anna telah berkhidmat di Bar Centrale sejak 1958. — Agensi
"Saya juga mempunyai pelanggan tetap yang suka minum cappuccino selepas tengah malam.
"Dan mereka menikmati hidangan tersebut tidak kira waktu," ujarnya.
Katanya, perkara yang lebih penting daripada rutin harian ialah makanan yang anda telah nikmati.
Beliau bagaimanapun tidak mengesyorkan hidangan kopi bersama jus oren.
Malahan, katanya, kopi tidak sesuai selepas makan tengahari ketika perut masih terlalu kenyang.
Namun, semua amalan itu tidak lagi memberi kesan kepada Anna yang lebih dikenali sebagai Nenek Anna.
Ini kerana beliau sendiri sudah berhenti daripada minum kopi pada pertengahan 1970-an untuk menstabilkan tekanan darahnya.
Ketika ditemui tahun lalu, Anna berkata, dia tidak pernah berhenti bekerja meskipun sudah mencapai usia seabad.
"Saya sentiasa bekerja termasuk ketika hari Ahad, Easter dan Krismas. Saya tidak pernah bercuti," katanya.
Perkara itu sudah menjadi rutin sejak 1 Mei 1958 ketika beliau membuka bar tersebut bersama suaminya dengan menyediakan espreso dan cappucino.
Selepas suaminya meninggal dunia pada 1974, beliau mendedikasikan hidupnya untuk membesarkan dua anak mereka dan perniagaan bar tersebut.
Anna menyifatkan 1960-an hingga 1980-an sebagai "tahun paling indah" dalam sejarah barnya.
Dalam tempoh tersebut, beliau menerima beberapa pelanggan terkenal termasuk pemain kelab bola sepak AC Milan, Gianni Rivera dan Fulvio Collovati. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram