
DI sebalik kejayaan empayar jamunya, usahawan dan selebriti Tya Arifin, 31, terus membuktikan bahawa kejayaan bukan alasan untuk berhenti menimba ilmu.
Baru-baru ini, Tya atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin berkongsi satu hantaran di Instagram menyatakan dirinya kini mengikuti kursus pendek di Universiti Oxford, London, United Kingdom (UK).
"Alhamdulillah, lagi banyak timba ilmu, lagi banyak anda dapat," tulisnya dalam ruangan kapsyen.
Menantu kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu juga menyifatkan tenaga pengajar di universiti berkenaan mempunyai aura luar biasa.
Tambahnya, beliau bakal memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk memperkukuh perniagaannya.
"Kosongkan gelas untuk menerima ilmu baru dari speaker dan pensyarah luar biasa. Insya-ALLAH boleh diaplikasikan untuk Mutyara," ujar beliau.
Dalam pada itu, meskipun sibuk sebagai pelajar dan menemani suami yang bekerja di London, Tya tetap kekal komited menjalankan peranan sebagai ibu.
Menerusi satu hantarannya lagi, ibu kepada tiga orang anak itu meluahkan kebimbangan berhubung pengurusan susu badan berikutan anak bongsunya yang masih menyusu ditinggalkan di Malaysia.
Enggan membuang susu-susu yang telah dipam, Tya mengambil keputusan untuk mendermakannya kepada mana-mana golongan memerlukan di London.
"Tya nak dermakan susu ibu ini kepada yang memerlukan di sini (London). Tya harap pilihan ini sebenarnya kerana susu ibu sangat berharga," katanya.
Namun begitu, warga maya tampil memberikan pelbagai reaksi di ruangan komen hantaran tersebut.
“Sebelum lima kali kenyang okey la, tak jadi anak susuan. Kalau dah lima kali kenyang, jadi anak susuan, berat tanggungan tu," kata @tierah.rahman.
Ada juga pengguna yang mencadangkan Tya agar susu tersebut dibawa pulang ke Malaysia.
“Boleh bawa pulang ke Malaysia dan susu masih keras. Kena ada kotak ais dan juga pek ais gel," kongsi @misznina17.
Sementara itu, @nurhairunnina menzahirkan kebimbangan terhadap isu penyusuan dan nasab.
"Lebih baik bekukan dan bawa balik ke Malaysia kerapa apabila kita derma pada bayi yang tak tahu asal usul, kenyang pula tu, macam-macam boleh jadi," komennya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram