'Jangan cepat emosi, elak menyesal kemudian hari', kahwin kontrak selepas talak 3 dianggap tak sah, dilaknat Tuhan — Peguam Syarie


  • Maya
  • Khamis, 15 Mei 2025

Perkahwinan kontrak bukan sahaja tidak sah dari segi undang-undang, malah jelas dilarang dalam Islam.

TINDAKAN pasangan suami isteri yang telah bercerai dengan talak tiga untuk kembali bersama melalui perkahwinan kontrak atau lebih dikenali sebagai nikah muhalil bukan sahaja tidak sah dari segi undang-undang, malah jelas dilarang dalam Islam.

Peguam Syarie Negeri Selangor merangkap Panel Hakam Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Muhammad Amirul Akmal Ismail mendedahkan terdapat pasangan yang datang mendapatkan khidmat nasihat selepas berpisah dengan talak tiga dan cuba kembali bersama melalui perkahwinan kontrak dengan pihak ketiga.

"Dalam kes nikah kontrak, mereka biasanya membuat perjanjian sesama sendiri, contohnya suami baharu dilarang tidur dengan isteri dan perkahwinan itu hanya berlangsung untuk tempoh tertentu seperti dua hari sahaja.

"Amalan ini dikenali sebagai nikah muhalil atau dalam masyarakat tempatan disebut sebagai cina buta.

"Ini adalah satu amalan yang jelas tidak dibenarkan. Saya menasihatkan mereka supaya tidak meneruskan perkara ini," jelas beliau.

BACA LAGI: Bukan setakat 'handmade card', si kecil kongsi cara tersendiri hargai insan tersayang sempena Hari Ibu

BACA LAGI: Bekas suami maki dan fitnah di media sosial? Ini tindakan undang-undang boleh diambil yang ramai wanita tidak tahu

Memetik Sabda Rasulullah SAW:

**لعن رسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم المُحِل والمُحلل لهُ**

Maksudnya: "Rasulullah SAW melaknat seseorang yang menikahi wanita yang ditalak tiga dengan niat untuk menjadikan halal kepada bekas suami dan ke atas siapa yang dia dihalalkan." (Hadis Riwayat Abu Isa, Hasan Sahih)

Amirul Akmal merupakan pengamal undang-undang syariah di Firma Tetuan Amirul Akmal & Associates.

Amirul Akmal menegaskan bahawa, para ilmuwan sepakat bahawa nikah muhalil yang dirancang dengan niat untuk membolehkan bekas suami merujuk semula adalah satu bentuk penipuan terhadap hukum syarak.

“Kontrak atau perjanjian yang dibuat dalam perkahwinan sebegini tidak mempunyai nilai di sisi undang-undang mahupun syariah. Dari awal lagi, kontrak ini sudah terbatal.

“Justeru, tidak timbul soal talak jatuh secara automatik setelah tempoh yang ditetapkan tamat dalam kontrak.

"Dalam undang-undang syariah, talak hanya sah apabila dilafazkan dengan jelas dan disahkan oleh mahkamah,” tegasnya.

Amirul turut berkata, sekiranya tiada lafaz talak yang sah dan tiada pengesahan daripada mahkamah, pasangan tersebut masih dianggap sebagai suami isteri yang sah di sisi undang-undang negara.

Muhammad Amirul juga memberi nasihat kepada pasangan yang menghadapi konflik rumah tangga agar tidak mengambil jalan pintas dengan melafazkan talak secara terburu-buru.

“Perkahwinan itu menuntut kesabaran, komunikasi, dan toleransi. Jangan kerana emosi atau kemarahan, talak dilafazkan dengan mudah.

“Begitu juga, jangan cuba mencari jalan belakang dengan cara yang tidak sah untuk kembali bersama selepas talak tiga,” katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram