Zara Qairina kena tuduh curi RM20 walaupun tiada bukti — Guru


  • Massa
  • Jumaat, 30 Jan 2026

Zara Qairina dituduh mencuri wang RM20 oleh rakan sekelasnya walaupun tiada bukti ditemui hasil pemeriksaan mengejut.

ALLAHYARHAM Zara Qairina Mahathir menjadi sasaran tuduhan rakan sekelasnya susulan laporan kehilangan wang RM20 oleh seorang pelajar walaupun tiada sebarang bukti ditemui hasil pemeriksaan mengejut yang dijalankan, lapor Berita Harian.

Guru berkenaan, Mohd Sham M Nasir, 27, berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, sambil menegaskan bahawa beliau telah menasihati pelajar supaya tidak menuduh mana-mana pihak tanpa bukti.

Saksi ke-61 itu mengimbas kejadian yang berlaku pada 14 Julai tahun lalu ketika beliau mengajar di kelas yang dihadiri Zara.

BACA LAGI: Karier bernyawa semula, Syahmi Safari ketepikan Matt Davies, muncul komponen penting Xisco Munoz

BACA LAGI: Seperti dijangka, semua AJK Eksekutif FAM letak jawatan serta-merta

Menurutnya, beliau menyedari seorang pelajar kelihatan sedih dan hampir menangis semasa sesi pengajaran berlangsung.

“Apabila ditanya, pelajar itu memaklumkan bahawa dia kehilangan wang RM20 ketika dalam perjalanan ke makmal sains,” katanya.

Mohd Sham berkata, beliau kemudian bertanya kepada seluruh kelas sama ada terdapat pelajar yang mengetahui siapa individu terakhir keluar dari bilik darjah, namun tiada jawapan diterima.

Berikutan itu, beliau menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas semua pelajar yang hadir pada hari tersebut termasuk Zara.

Pemeriksaan melibatkan beg sekolah, dompet dan poket pelajar, manakala pelajar perempuan diperiksa oleh penolong ketua kelas.

Katanya, pemeriksaan yang mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit itu tidak menemui wang yang dilaporkan hilang, sebelum sesi pengajaran diteruskan seperti biasa.

Zara Qairina dituduh mencuri wang RM20 milik seorang pelajar.

Namun, ketika beliau sedang mengemas untuk meninggalkan kelas, pelajar yang kehilangan wang menyerahkan sekeping kertas kecil kepadanya.

“Apabila saya membukanya, tertera nama ‘Zara’. Saya segera menasihati pelajar berkenaan supaya tidak membuat tuduhan tanpa bukti, namun dua pelajar lain menyokong dakwaan tersebut,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada Jumaat.

Menurut Mohd Sham, seorang pelajar mendakwa Zara pernah terbabit dalam kejadian sama sebelum ini, manakala seorang lagi pelajar, dikenali sebagai ‘Pelajar A’, turut mendakwa pernah kehilangan wang dan mengesyaki Allahyarham.

Beliau berkata, sebahagian pelajar memilih untuk berdiam diri manakala yang lain secara terbuka membincangkan tuduhan berkenaan.

Walaupun pelajar yang kehilangan wang tidak menyebut nama Zara secara lisan, Mohd Sham percaya dua pelajar terbabit menyedari tuduhan itu memandangkan kertas kecil berkenaan hanya tertera nama Allahyarham.

Katanya, tempat duduk Zara yang berdekatan menyebabkan beliau percaya Allahyarham dapat mendengar perbualan tersebut, namun beliau mengelak memandang ke arah pelajar itu bagi mengelakkan ketidakselesaan.

Selepas doa penutup dibacakan bagi menamatkan kelas, Mohd Sham berkata Zara kelihatan tenang dan tidak menunjukkan sebarang reaksi ketara.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa ketika meninggalkan kelas, beberapa pelajar berkumpul dan sekali lagi menuduh Zara mencuri, sambil mengulangi dakwaan bahawa Allahyarham pernah melakukan perkara sama sebelum ini.

“Saya sekali lagi menasihati mereka supaya tidak menuduh sesiapa tanpa bukti,” katanya.

Mohd Sham menambah, beliau kembali bertugas seperti biasa keesokan harinya, iaitu pada 15 Julai 2025, dan meninggalkan sekolah pada pukul 1.30 tengah hari selepas menamatkan tugas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram