SEORANG kakitangan wanita di Klinik Kesihatan Jalan Perak di George Town, Pulau Pinang dilaporkan mengalami sesak nafas sebelum pengsan, dipercayai akibat kebocoran gas, dalam kejadian pada Khamis.
Mangsa berusia 43 tahun yang bertugas sebagai juru teknologi makmal itu menerima rawatan awal di lokasi sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada pukul 9.13 pagi.
BACA LAGI: Tiada DNA asing pada senjata, polis kaitkan kemurungan motif pembunuhan suami isteri di Sri Aman
BACA LAGI: ‘Siap ada anak kecil ya ALLAH’, lelaki terkejut polis beritahu homestay dijadikan markas penyamun
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak digerakkan ke lokasi bagi menjalankan khidmat khas untuk mengenal pasti punca kejadian, dengan bantuan anggota dari BBP Lebuh Pantai dan BBP Bayan Baru.
"Insiden itu menyebabkan seorang kakitangan klinik mengalami sesak nafas dan tidak sedarkan diri, namun mangsa telah dibawa ke HPP sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan penyelamat memakai pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap dan menjalankan pemantauan rapi bagi mengesan sebarang punca kebocoran gas.

JBPM Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada pukul 9.13 pagi.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan oleh pasukan HAZMAT mendapati tiada unsur kebocoran gas atau tumpahan bahan kimia dikesan di kawasan berkenaan, selain bacaan kandungan oksigen berada pada paras normal iaitu 21 peratus.
"Sebagai langkah keselamatan, pasukan bomba membuka beberapa tingkap bagi tujuan pengudaraan untuk menstabilkan kandungan udara di ruang terbabit.
"Keadaan disahkan selamat dengan bacaan kandungan oksigen kekal pada tahap normal sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.06 pagi," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
