RPM 2026–2035 pacu transformasi pendidikan negara, fokus impak dan mutu


  • Massa
  • Ahad, 25 Jan 2026

Anwar (tengah) melancarkan RPM 2026–2035 di Putrajaya baru-baru ini. Turut hadir (dari kiri) Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, (dari kanan) Fadhlina dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. — AZMAN GHANI/The Star

SASARAN, kemenangan awal (quick wins), impak jangka panjang dan kelestarian menjadi teras kepada Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 (RPM 2026–2035), kata Kementerian Pendidikan (KPM).

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pada masa sama, penekanan turut diberikan kepada aspek kualiti, akses, ekuiti, ketersediaan sumber, kecekapan dan fleksibiliti.

Beliau berkata, setiap program yang dilaksanakan oleh kementerian akan berpandukan kepada tujuh strategi teras yang digariskan dalam pelan tersebut.

“Ia mesti meningkatkan kualiti dan ekuiti pendidikan untuk murid serta bersifat mampan,” katanya.

BACA LAGI: Bukan 'bahan eksperimen’, dasar murid Tahun Satu umur 6 tahun disaring menyeluruh — Fadhlina Sidek

BACA LAGI: ‘Tahun Ini Tahun Kita’ jadi mentera KPM fokus kurikulum prasekolah dan pelan pendidikan baharu

Antara matlamat utamanya adalah memastikan kurikulum kebangsaan kekal berdaya saing dan menjadi pilihan utama rakyat melalui pembentukan sahsiah, pendidikan berteraskan nilai kemanusiaan serta integrasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

Ia juga memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengajaran dan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi mewujudkan peluang kerjaya yang lebih baik.

Satu aspek penting ialah peranan bahasa, khususnya Bahasa Malaysia, sebagai medium komunikasi dan perpaduan nasional. Penguasaan Bahasa Inggeris dan bahasa lain turut diberi penekanan.

Selain itu, pelan tersebut menekankan usaha menghidupkan semula budaya membaca yang kukuh di sekolah, institusi pendidikan, keluarga, komuniti dan ekosistem digital melalui perpustakaan, bahan bacaan berkualiti serta penggunaan teknologi.

KPM memaklumkan bahawa pembacaan bermakna membolehkan murid memahami teks secara mendalam, menganalisis maklumat, menilai kebolehpercayaan sumber dan membentuk hujah berasaskan ilmu, sekali gus melahirkan pemikir yang kompeten dan bertanggungjawab.

Rancangan ini bukan hanya tertumpu kepada buku dan teks semata-mata, malah turut memberi penekanan kepada pembangunan mental serta sosioemosi murid dan guru.

Akses dan keterangkuman pendidikan turut diberi keutamaan dengan memberi perhatian kepada peluang pembelajaran untuk semua kanak-kanak Malaysia, termasuk murid berkeperluan pendidikan khas, Orang Asli, Pribumi dan murid berbakat.

S.K. Serdang's pupils take a closer look of the interective exhibit after the launching of 2026 - 2035 National Education Plan by Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim at Dewan Perdana in PICC on January 20.-AZMAN GHANI/The Star

RPM 2026–2035 bertindak sebagai kompas strategik untuk menangani isu pembelajaran, kesejahteraan guru dan murid serta cabaran teknologi seperti AI.  — AZMAN GHANI/The Star

Turut ditekankan ialah pendidikan berteraskan nilai kemanusiaan, yang menegaskan bahawa pembelajaran bukan sekadar memperoleh ilmu dan kemahiran, tetapi juga membentuk insan yang berjaya, adil, beradab dan berjiwa memberi.

Kurikulum, pedagogi dan pentaksiran akan digunakan bagi pembangunan intelek, emosi, rohani dan jasmani, dengan guru berperanan sebagai pembimbing dan teladan.

Pelan tersebut juga memberi tumpuan kepada guru serta usaha menyemarakkan semangat keguruan melalui pemerkasaan profesion, sokongan kesejahteraan holistik, autonomi profesional yang seimbang dan laluan kerjaya yang jelas.

“Semangat guru merupakan teras keberkesanan sistem pendidikan kerana guru yang mengajar dengan empati dan membimbing murid secara holistik lebih terbuka kepada inovasi serta menjadi contoh kepada murid,” katanya.

Pada masa sama, komitmen guru mempunyai hubungan langsung dengan pembangunan murid melalui persekitaran pembelajaran yang positif, sokongan sosioemosi dan pemupukan minat pembelajaran sepanjang hayat.

Oleh itu, kepimpinan institusi yang berempati serta sistem sokongan yang kukuh amat penting bagi menyemarakkan semangat guru sebagai aset paling bernilai dalam pendidikan negara.

S.K. Serdang's pupils take a closer look of the interective exhibit after the launching of 2026 - 2035 National Education Plan by Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim at Dewan Perdana in PICC on January 20.-AZMAN GHANI/The Star

Pembangunan insan seimbang amat penting bagi memastikan pendidikan tidak hanya melahirkan murid cemerlang intelek, tetapi juga individu berakhlak, berperikemanusiaan dan harmoni. — Gambar hiasan AZMAN GHANI/The Star

Walaupun ia merupakan pelan baharu, kesinambungan daripada pelan terdahulu yang berakhir tahun lalu tetap diteruskan.

“Kami akan teruskan perkara yang mendatangkan kejayaan dan laksanakan dan apa yang perlu diperbaiki atau perlu ditambah baik,” kata Mohd Azam.

Beliau menegaskan bahawa pelan berkenaan tidak akan kekal di atas kertas semata-mata, sebaliknya kementerian mempunyai sasaran yang perlu dicapai dan pelarasan akan dibuat sekiranya sasaran tidak dipenuhi.

Pada pelancaran RPM 2026–2035 pada 20 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berharap semua pihak akan berusaha melakukan yang terbaik selaras dengan teras yang digariskan dalam pelan tersebut.

Beliau menambah, pelan itu menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membawa perubahan dan memacu transformasi dalam bidang pendidikan bagi memastikan kualiti pendidikan negara meningkat dan masa depan anak-anak menjadi lebih cerah.

KPM tekad rapatkan jurang, tingkat kualiti sekolah

KPM akan melaksanakan beberapa inisiatif komprehensif bagi mencapai sasaran yang digariskan dalam RPM 2026–2035.

Antara inisiatif tersebut ialah Pelaksanaan Matriks Pembelajaran bagi Tahun Empat bermula tahun ini dan Tingkatan Tiga pada tahun 2027, yang diyakini dapat mengurangkan jurang pendidikan dalam kalangan murid.

Menurut kementerian, penilaian itu memberi peluang kepada murid untuk menyertai intervensi sebelum memasuki sekolah menengah.

Penilaian Tahun Empat merangkumi empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, manakala penilaian Tingkatan Tiga meliputi empat mata pelajaran teras serta Sejarah. Kedua-dua penilaian itu akan dikendalikan secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Kurikulum kebangsaan juga akan digunakan sebagai alat untuk memperkukuh identiti 'Bangsa Malaysia'.

Semua kanak-kanak Malaysia yang tidak mengikuti kurikulum kebangsaan diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah yang selaras dengan kurikulum kebangsaan.

Fadhlina (tengah) bersama KPM akan terus memberi perhatian kepada isu pembangunan pendidikan melalui pendekatan berteraskan kemanusiaan. — X/KPM

Peraturan itu akan terpakai kepada semua jenis sekolah di negara ini, termasuk sekolah antarabangsa dan swasta.

Bagi meningkatkan kualiti sekolah kebangsaan, kerajaan akan memulakan usaha dengan memastikan lima sekolah kebangsaan di bawah setiap Pejabat Pendidikan Daerah mencapai tahap dan kualiti setara dengan ciri-ciri 'Sekolah Inspirasi' di bawah agenda Reformasi Sekolah.

Fokus utama adalah penguasaan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, bahasa tambahan serta mata pelajaran STEM, selain prasarana lengkap dan pengurusan sekolah yang cekap.

Setiap sekolah akan diperuntukkan RM100,000 bagi inisiatif ini, dan usaha akan diteruskan sehingga sekolah kebangsaan menjadi pilihan utama rakyat.

Satu lagi inisiatif ialah memulakan pendidikan prasekolah pada usia lima tahun dan kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun mulai 2027.

Bagaimanapun, kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun belum diwajibkan dan bergantung kepada kesediaan kanak-kanak serta persetujuan ibu bapa.

Pelarasan umur berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam membina asas pembelajaran sepanjang hayat, meningkatkan pencapaian murid dan memastikan setiap kanak-kanak memulakan pendidikan pada masa yang sesuai dengan sokongan seimbang dan berkualiti.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kanak-kanak perlu menjalani ujian diagnostik holistik bagi menentukan tahap kesediaan mereka sebelum dibenarkan memulakan persekolahan lebih awal.

Sebelum pelaksanaan tahun depan, kementerian akan menjalankan kajian keperluan infrastruktur bagi memastikan ia mampu menampung pertambahan murid yang memasuki Tahun Satu.

Melalui Kurikulum Sekolah 2027, elemen TVET akan diperkenalkan dari Tahun Satu hingga Tahun Enam bagi membina asas TVET dalam kalangan bakat muda negara.

Crowds attending the launching of the 2026 - 2035 National Education Plan by Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim at Dewan Perdana in PICC on January 20.- AZMAN GHANI/The Star

Sebahagian murid pelajar SK Serdang melihat pameran interaktif yang disediakan sempena pelancaran RPM 2026–2035 di Dewan Perdana, PICC pada 20 Januari. — AZMAN GHANI/The Star

Murid sekolah menengah rendah (Tingkatan Satu hingga Tiga) juga akan didedahkan kepada kandungan, kemahiran dan nilai yang lebih maju dalam pelbagai bidang teknologi dan digital.

Sementara itu, pelajar Kolej Vokasional akan mengikuti program penguasaan Bahasa Inggeris bagi meningkatkan kemahiran komunikasi dan kebolehpasaran mereka.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM100 juta disediakan tahun ini bagi menaik taraf bilik guru, dengan keutamaan kepada perabot asas, infrastruktur sokongan serta kemudahan kerja yang selamat dan selesa.

KPM mengakui bahawa keadaan bilik guru di sesetengah sekolah tidak kondusif dan memerlukan penambahbaikan segera kerana ia menjejaskan kesejahteraan, motivasi serta keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Inisiatif itu disifatkan sebagai pelaburan strategik untuk memelihara kesejahteraan guru, memperkukuh profesionalisme dan meningkatkan kualiti pendidikan negara, selain meningkatkan motivasi, kreativiti, budaya kerja serta produktiviti. — The Star/ REBECCA RAJAENDRAM dan JAAYNE JEEVITA

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram