TIADA sebarang perancangan untuk mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), tegas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, peperiksaan kebangsaan tersebut tidak lagi sesuai dengan keperluan dan konteks pendidikan semasa.
“Kita tidak boleh berpatah balik. Melihat kepada Pelan Pendidikan Malaysia 2026-2035, kita perlu bergerak ke hadapan,” katanya selepas pelancaran Pelan Pendidikan Negara 2026-2035 pada Selasa.
BACA LAGI: ‘Tahun Ini Tahun Kita’ jadi mentera KPM fokus kurikulum prasekolah dan pelan pendidikan baharu
BACA LAGI: SPLKPM dimansuhkan, guru harap tiada sistem baharu diperkenalkan KPM
Isu pengembalian UPSR dan PT3 menjadi perdebatan hangat sejak kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan masing-masing pada 2021 dan 2022.
Pada 9 Januari lalu, Fadhlina pernah memberi bayangan mengenai kemungkinan kedua-dua peperiksaan itu dikembalikan selepas Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan membuat penilaian terhadap perkara tersebut.
Namun, beliau menegaskan bahawa kementerian kekal mempertahankan pendirian bahawa UPSR dan PT3 tidak akan dilaksanakan semula.
"Kami mahu memberi tumpuan kepada pentaksiran berasaskan bilik darjah kerana ia merupakan satu sistem yang menilai potensi murid secara holistik dan menyeluruh. Ia tidak menilai mereka berdasarkan aspek peperiksaan semata-mata," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan kerajaan telah mengambil kira serta menilai maklum balas orang ramai terhadap sistem pentaksiran sedia ada di sekolah, sebelum memutuskan untuk melaksanakan Malaysian Learning Metrics bagi murid Tahun Empat dan pelajar Tingkatan Tiga.
Menurut Fadhlina, ujian berkenaan akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan bagi memastikan ia diseragamkan untuk semua pelajar yang mendudukinya.
Jelas beliau, keputusan ujian itu kemudiannya akan digunakan untuk menentukan sama ada seseorang pelajar memerlukan sebarang intervensi sebelum menamatkan persekolahan rendah atau menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). — The Star/REBECCA RAJAENDRAM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
