BEBERAPA pengguna media sosial meluahkan kebimbangan selepas menerima bungkusan misteri daripada pengirim bernama 'Apple Sweet' walaupun mereka tidak pernah membuat sebarang pesanan dalam talian.
Perkara itu tular di Threads apabila seorang wanita menggunakan nama @zxfge mendakwa menerima satu parcel di hadapan rumahnya dengan nama penerima diletakkan sebagai 'Gift'.
Menurutnya, sepanjang bulan berkenaan dia tidak membuat sebarang pembelian di platform e-dagang seperti Shopee atau mana-mana kedai dalam talian.
BACA LAGI: [VIDEO] Peniaga kek 'petite' di Cyberjaya kesal, tegur pelanggan suka banding harga tanpa faham kos
BACA LAGI: Ingat nak sokong peniaga jalanan, pelanggan kecewa piza RM19.90 di Shah Alam macam mainan
“Bila buka parcel, dalamnya cuma ada rantai kunci patung beruang. Terkejut sebab memang tak order apa-apa,” katanya.
Lebih mencurigakan, dia turut memaklumkan adik kepada rakannya menerima bungkusan yang sama, dengan alamat serta nama pengirim serupa, namun rakan tersebut memilih untuk tidak membuka parcel berkenaan.
"Setakat ini, tengok ramai orang di Perlis yang dapat (parcel) sebegini. Baik-baik la korang. Takut," tulisnya lagi.
Situasi itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna Threads lain dengan ada yang menasihatkan supaya barangan tersebut terus dibuang bagi mengelakkan sebarang risiko.
“Buang saja. Kalau bukan scam pun, takut-takut ada kamera kecil atau benda pelik dalam patung tu,” kata seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna Threads, @syuhadah _majid berkongsi pengalaman hampir sama, mendakwa selepas menerima ‘hadiah’ berkenaan, dia dihubungi oleh individu tidak dikenali yang bertanya sama ada barangan diterima dalam keadaan baik.
Panggilan itu kemudiannya disusuli jemputan untuk menyertai kumpulan WhatsApp kononnya bagi tujuan membuat ulasan produk.
“Dalam group tu ada link pelik, kena buat macam-macam ‘task’ dan dijanjikan bayaran. Saya terus keluar group dan report sebagai spam. Dua kali juga saya kena add semula,” katanya sambil menambah bahawa dia menerima tumbler LED sebagai ‘hadiah’.
Sementara itu, seorang pengguna @azizulaziz2411 mendakwa, ramai dari Perlis mungkin menjadi sasaran kerana lokasi itu bersempadan dengan Thailand.
Modus operandi tersebut dipercayai ada kaitan dengan sindiket penipuan yang aktif di kawasan berhampiran sempadan Thailand, khususnya melibatkan scammer dari Kemboja.
“Biasanya bermula dengan gift. Lepas tu mereka akan call tanya terima hadiah atau tidak, dan dari situ scam bermula,” dakwanya.
Seorang pengguna lain, @ivyfansuree mendakwa ia berkemungkinan taktik dipanggil 'brushing scam' yang mana penjual online daripada platform besar menghantar barang murah atau tidak bernilai kepada orang secara rawak bertujuan memalsukan transaksi berjaya.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada sekiranya menerima bungkusan yang tidak pernah dipesan selain tidak berkongsi maklumat peribadi dengan sewenang-wenangnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
