USAHA memperkasa literasi komunikasi dalam kalangan murid luar bandar terus diperkasakan apabila pelajar Perhubungan Awam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menerusi agensi pelajar, PRhythm Agency menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PR Cilik di Sekolah Kebangsaan Pulau Tuba, Langkawi, Kedah.
Program bertemakan ‘Suara Kecil, Impak Besar’ itu melibatkan seramai 103 murid sekolah rendah dengan matlamat memberi pendedahan awal terhadap dunia komunikasi dan media melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang interaktif, kreatif serta menyeronokkan.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti hands-on diketengahkan termasuk Pembaca Berita Cilik, DJ Cilik dan Junior Reporter, selain permainan berasaskan komunikasi serta kerjasama seperti Menara Pintar, Radio Rosak dan Lompat, Pusing, Fokus! yang dirangka khusus untuk meningkatkan keyakinan diri murid.
BACA LAGI: ‘Siap ada anak kecil ya ALLAH’, lelaki terkejut polis beritahu homestay dijadikan markas penyamun
BACA LAGI: Terpedaya 7 tahun, wanita baru tahu suami 'polis' sebenarnya pembunuh sedang jalani hukuman mati
Aktiviti-aktiviti tersebut turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran komunikasi lisan dan bukan lisan, kreativiti serta pemikiran kritikal dalam kalangan murid sekolah rendah.
Penasihat Program PR Cilik, Abuzar Abdul Halim berkata, inisiatif itu bukan sekadar aktiviti kokurikulum, sebaliknya berfungsi sebagai platform pembelajaran bermakna yang memberi ruang kepada murid untuk berani mencuba serta mengekspresikan idea mereka.
“Program ini memberi peluang kepada anak-anak pelajar untuk belajar berkomunikasi dengan lebih yakin, berani bercakap di hadapan orang ramai serta mencuba perkara baharu melalui aktiviti yang menyeronokkan,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Pulau Tuba, Razif Md. Rashid menyifatkan penganjuran PR Cilik sebagai peluang berharga buat murid luar bandar dalam membina keyakinan diri dan kemahiran insaniah sejak usia muda.

Gimik pelancaran Program PR Cilik sebagai simbol aspirasi 'Suara Kecil, Impak
Besar' dalam pembangunan kemahiran komunikasi murid.
“Aktiviti seperti Little News Anchor dan DJ Cilik bukan sahaja menyeronokkan, malah membantu murid berani bersuara dan bercakap di hadapan khalayak, satu kemahiran penting untuk masa depan mereka,” ujarnya.
Ketua Program, Wan Safiah Abdullah Sani pula menjelaskan bahawa PR Cilik dirangka oleh pelajar tahun akhir Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam UiTM sebagai usaha menghubungkan ilmu universiti dengan keperluan sebenar komuniti.
“Tema ‘Suara Kecil, Impak Besar’ membawa mesej bahawa idea dan suara murid, walaupun kecil, mampu mencetus perubahan positif apabila digunakan dengan cara yang betul,” katanya.
Selain memberi manfaat kepada komuniti Pulau Tuba, program itu turut menjadi medan pembelajaran praktikal kepada pelajar UiTM untuk mengaplikasikan ilmu perhubungan awam, pengurusan acara dan komunikasi strategik dalam situasi sebenar, di samping membina kemahiran kepimpinan, empati serta kerja berpasukan.

Aktiviti DJ Cilik membantu murid-murid mengasah kemahiran komunikasi lisan
melalui latihan penyampaian suara, penggunaan intonasi dan penyampaian mesej secara jelas dan berkesan.
Penganjuran PR Cilik juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) dengan memperluas akses pembelajaran tidak formal kepada komuniti yang mempunyai pendedahan terhad terhadap dunia komunikasi dan media.
Dengan sambutan positif daripada pihak sekolah serta komuniti setempat, program PR Cilik membuktikan bahawa pendidikan komunikasi boleh disampaikan secara kreatif dan inklusif, sekali gus mengukuhkan peranan UiTM sebagai institusi yang komited terhadap pembangunan komuniti dan pembelajaran abad ke-21. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
