Penjawat awam di Melaka dapat cuti khas sempena 1 Ramadan, peroleh 6 hari cuti berturut-turut


  • Massa
  • Isnin, 19 Jan 2026

Ab Rauf mengumumkan cuti khas kepada semua penjawat awam di Melaka pada 19 Februari. — Facebook/AbRauf

KERAJAAN Negeri Melaka mengumumkan cuti khas kepada semua penjawat awam negeri dan Persekutuan di negeri itu pada 1 Ramadan ini, yang dijangka jatuh pada 19 Februari.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bagi menghargai khidmat lelah semua penjawat awam di Melaka yang bertungkus lumus melaksanakan pelbagai program pada tahun lepas.

BACA LAGI: Penjawat awam di KL, Putrajaya dan Labuan dapat cuti ganti pada 2 Februari

BACA LAGI: Cuti sekolah lebih lama tahun depan, ibu bapa sudah boleh rancang percutian keluarga awal

"Ada pula yang sampai suami mengadu di komen, katanya, 'Tok kesian dekat saya, hujung minggu pun isteri kena kerja' ! Saya faham…saya dengar dan saya amat memahami…inilah gambaran sebenar komitmen penjawat awam negeri Melaka, sanggup bertugas siang dan malam, berhujan berpanas, meninggalkan keluarga tercinta demi rakyat Melaka.

"Mudah-mudahan cuti ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk membuat persiapan menyambut Ramadan bersama keluarga. Semoga dengan cuti Ramadan ini dapat mendekatkan yang jauh, dapat memesrakan yang lama tak dapat bersama-sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di Melaka pada Isnin.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

Menerusi pengumuman itu, Melaka akan mempunyai enam hari cuti umum dan cuti hujung minggu secara berturut-turut bermula sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 dan 18 Februari, cuti khas 1 Ramadan (19 Februari), Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (20 Februari) serta pada Sabtu dan Ahad (21 dan 22 Februari). — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram