[VIDEO] Kren tumbang terus menghantui Thailand, insiden terbaharu ragut 2 nyawa


  • Benua
  • Khamis, 15 Jan 2026

Keadaan selepas kren menghempap ​​dua kenderaan semasa pembinaan lebuh raya bertingkat di Samut Sakhon pada Khamis. — Reuters

INSIDEN kren tumbang terus menghantui Thailand apabila sebuah kren dilaporkan runtuh pada Khamis, menghempap dua kenderaan dan mengorbankan dua individu, hanya sehari selepas satu lagi tragedi membabitkan kren di timur laut negara itu meragut nyawa 32 penumpang kereta api.

Menurut pihak polis, kejadian terbaharu itu berlaku di wilayah Samut Sakhon, berhampiran Bangkok apabila sebuah kren yang digunakan dalam projek pembinaan lebuh raya bertingkat tumbang secara tiba-tiba ke atas jalan raya di bawahnya.

Ketua Balai Polis daerah berkenaan, Kolonel Polis Sitthiporn Kasi berkata, runtuhan kren itu menyebabkan dua kenderaan remuk, sekali gus mengakibatkan dua kematian di lokasi kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Kren tiba-tiba tumbang hempap kereta api, 22 maut di Thailand

BACA LAGI: [VIDEO] Kemaruk nak jadi pramugari, tembelang wanita Palembang di awan biru terbongkar

Seorang lagi pegawai polis memaklumkan kepada Reuters bahawa lima individu turut mengalami kecederaan dan telah dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Insiden tersebut menjadi episod terbaharu dalam siri kemalangan maut yang melibatkan projek pembinaan di Thailand, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan di tapak pembinaan berskala besar.

Tragedi itu berlaku sehari selepas sebuah kereta api tergelincir di wilayah Nakhon Ratchasima, timur laut Thailand, susulan runtuhan kren yang terlibat dalam projek pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi bertingkat.

Dalam kejadian pada Rabu itu, seramai 32 penumpang disahkan maut, manakala 66 daripada 195 penumpang di dalam kereta api berkenaan turut mengalami kecederaan.

Pihak berkuasa Thailand memaklumkan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kedua-dua insiden, termasuk kemungkinan kecuaian serta tahap pematuhan prosedur keselamatan di tapak pembinaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram