KERJAYA Lim Tian Seng berubah secara tidak dijangka selepas Krisis Kewangan Asia 1997 yang pada ketika itu menyebabkan dia kehilangan pekerjaan dalam industri pembinaan.
Berbekalkan kemahiran yang dipelajari daripada ibu sejak kecil, Lim memulakan lembaran baharu dalam kerjayanya.
Lim, 65, berkata, dia sudah lali dengan pandangan masyarakat apabila menjahit kasut manik tradisional, kerana pekerjaan itu sinonim dengan kaum wanita.
BACA LAGI: Usahawan F&B kongsi realiti persaingan bisnes, nasihat tak perlu 'perang' harga demi tarik pelanggan
BACA LAGI: [VIDEO] 'Alas mana?', peniaga susun nasi lemak atas meja tanpa lapik cetus kebimbangan kebersihan

Pelbagai jenis produk dipamerkan di Festival Kraf Johor di Angsana Johor Bahru Mall. —THOMAS YONG/The Star
Dia mengakui, walaupun sudah terlibat lebih dua dekad, bidang itu yang merupakan ikon warisan masyarakat Peranakan, tidak pernah menarik minatnya semasa muda.
“Saya mula diperkenalkan dengan sulaman kasut oleh ibu ketika berusia sekitar 10 tahun.
“Pada mulanya, saya hanya membantu mengasingkan manik kecil mengikut warna sebelum perlahan-lahan belajar menjahit.
“Namun ketika itu, ramai menganggap menjahit adalah kerja wanita, jadi saya tidak pernah terfikir untuk menjadikannya sebagai kerjaya,” katanya kepada StarMetro.
Selepas menamatkan persekolahan, Lim bekerja dalam industri pembinaan dan bertemu isterinya yang turut bekerja di syarikat sama.
Namun, segalanya berubah apabila mereka kehilangan pekerjaan susulan krisis kewangan tersebut.
Keadaan itu memaksa pasangan tersebut pulang ke Melaka pada tahun 2000, di mana Lim mengambil alih kedai keluarga atas nasihat ibunya.
“Pada mulanya, saya dan isteri menjual cenderamata di kedai itu, tetapi isteri saya menyedari kasut manik buatan tangan komuniti Baba Nyonya semakin mendapat sambutan,” katanya.
“Isteri mula menjahit kasut, dan pada awalnya dia tidak percaya saya juga mampu melakukannya.
“Namun selepas mempelajari semula teknik jahitan, saya akhirnya mahir,” katanya.

Lim menunjukkan sulaman kasut manik yang dihasilkan secara buatan tangan. — THOMAS YONG/The Star
Kini, Lim menggunakan tiga jenis manik iaitu manik kasar, manik halus dan manik potong, yang disifatkannya sebagai manik vintaj dan hampir mustahil diperoleh pada masa kini.
Harga kasut buatan tangannya bermula daripada RM398 untuk kasut terbuka, RM498 bagi rekaan menggunakan manik kasar, manakala kasut menggunakan manik potong boleh mencecah sehingga RM2,000 sepasang.
“Proses menghasilkan kasut menggunakan manik potong boleh mengambil masa sehingga dua bulan,” katanya.
“Kasut manik kasar biasanya siap dalam tempoh lima hingga 10 hari, manakala kasut manik halus mengambil masa kira-kira sebulan.”
Lim merupakan antara pempamer di Festival Kraf Johor yang berlangsung di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall.
Dia berkata, sambutan pengunjung amat menggalakkan walaupun ia merupakan penyertaan pertamanya.
Menurutnya, pengunjung sering berhenti untuk menyaksikan dia enyulam manik dengan teliti pada bahagian atas kasut.
“Ramai yang mengambil kad perniagaan saya walaupun tidak membuat pembelian.
“Mereka beritahu akan datang ke kedai saya kerana di sana terdapat lebih banyak rekaan dan saiz,” katanya.
Lim percaya festival sebegini memainkan peranan penting dalam memastikan produk kraf buatan tangan tempatan terus relevan dan dikenali.

Mohd Herman (kanan) menunjukkan keris yang dihasilkan di gerai pamerannya. — THOMAS YONG/The Star
Seorang lagi pempamer, pengukir kayu, Mohd Herman M. Surib, 40, mempelajari kemahiran tersebut daripada bapanya dan merupakan satu-satunya daripada empat beradik yang meneruskan legasi keluarga.
Berasal dari Ipoh, Perak, koleksi keris, golok dan tongkat kayu ukiran daripada kayu nadir miliknya menarik perhatian pengunjung.
“Saya mula membuat sarung pisau pada 2007 sebelum mengembara ke seluruh Semenanjung Malaysia untuk menimba pengalaman.
“Akhirnya, saya berminat menghasilkan keris kerana seni pembuatannya jauh lebih rumit berbanding pisau biasa,” katanya.
Mohd Herman menggunakan salah satu kayu paling bernilai dan mahal di Malaysia iaitu kayu kemuning emas.
Harga bilah hasil krafnya bermula antara RM1,200 hingga RM2,000, bergantung kepada gred kayu dan tahap ketelitian kerja.
“Kayu kemuning emas sangat sukar diperoleh. Saya perlu masuk ke hutan bersama pemandu Orang Asli yang membantu mencari dan mengangkut kayu.
“Kayu ini sangat berat dan sukar dibawa keluar, namun kualitinya tiada tandingan,” katanya.
Koleksinya turut merangkumi tongkat daripada kayu kenaung, yang secara tradisional digunakan oleh golongan diraja di Thailand.
“Di Kelantan, tongkat kayu kenaung boleh mencecah harga hampir RM2,000,” katanya.
Walaupun keris kini kebanyakannya bersifat hiasan berikutan sekatan undang-undang, Mohd Herman percaya nilainya terletak pada seni dan warisan, bukan fungsi.
“Orang ramai membeli keris dan golok sebagai hiasan untuk kediaman,” katanya.

Ratha menunjukkan corak rekaan pakaian yang dihasilkan secara semula jadi. — THOMAS YONG/The Star
Pengusaha kraf M. Ratha, 54, yang mengkhusus dalam batik cetakan ekologi (eco-print), berkata hasil kerjanya sangat berkait rapat dengan alam semula jadi.
“Saya menggunakan daun sebagai motif serta kulit dan akar pokok sebagai pewarna semula jadi untuk menghasilkan corak organik pada fabrik.
“Eco-printing menekankan kelestarian dan menghubungkan pemakai dengan alam sekitar,” kata artisan dari Negeri Sembilan itu.
Ratha telah menceburi bidang tersebut selama lima tahun, bermula sebagai hobi sebelum berkembang menjadi perniagaan.
“Keseluruhan proses, daripada penyediaan fabrik hingga pengukusan dan penetapan warna, mengambil masa kira-kira dua minggu.
“Fabrik yang digunakan mesti kapas atau sutera tulen kerana campuran sintetik tidak menghasilkan cetakan yang baik,” katanya.
Menurutnya, sempena Visit Malaysia 2026, produk buatan tangannya berpotensi menarik minat pelancong kerana bersifat semula jadi, lestari dan eksklusif.
Ini merupakan penyertaan ketiganya di festival tersebut, dan menganggap kehadiran pelanggan lama sebagai penghargaan terbesar.
“Ada yang mengenali saya dari tahun-tahun sebelumnya dan ada juga yang kembali untuk membeli lagi. Itu sangat bermakna,” katanya.
Harga produknya bermula RM85 untuk selendang kapas tulen, manakala pakaian kanak-kanak bermula RM50.

Rosnah menghasilkan gubahan bungan menggunakan dawai, akrilik dan kristal. — THOMAS YONG/The Star
Bagi peserta tetap festival, Rosnah Bakar, acara itu menjadi platform mempamerkan bunga kristal berkilauan hasil tangannya.
Mempunyai pengalaman selama 18 tahun, artisan dari Kedah itu berkata setiap karya dihasilkan menggunakan dawai, akrilik dan kristal.
“Saya memang meminati seni dan sebelum ini terlibat dalam jahitan serta kraftangan kait.
“Saya telah menyertai festival ini selama 11 tahun berturut-turut dan setiap kali akan menghasilkan rekaan baharu kerana pelanggan tetap sentiasa mencari kelainan,” katanya.
Rosnah lebih gemar bekerja bersendirian dari rumah bagi memastikan harga kekal berpatutan walaupun kos bahan semakin meningkat.
Harga barangan akriliknya bermula RM15 sebagai cenderamata, manakala gubahan kristal boleh mencecah RM220 atau lebih bergantung kepada saiz dan tahap kerumitan.
“Kristal kelihatan lebih elegan, tetapi harganya juga lebih mahal.
“Sebagai peserta lama, saya telah membina pelanggan setia dari Johor, Singapura dan Indonesia.
“Ada pelanggan yang mengumpul hasil kerja saya kerana setiap rekaan adalah edisi terhad,” katanya. — The Star / MYSARA FAUZI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
