Hilang kerja dan pernah dipenjara 26 bulan, bekas banduan kongsi kisah jatuh bangun sebelum bergelar pereka grafik


  • Massa
  • Jumaat, 09 Jan 2026

Dalam tempoh setahun selepas dibebaskan, dia mula membina semula kehidupan sebagai pereka grafik bebas dan kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga. — Gambar hiasan/ Janaan AI

SEORANG lelaki yang kini mengusahakan perniagaan reka bentuk grafik, Qeesh Design, berkongsi kisah perjalanan hidupnya yang penuh liku sebagai motivasi kepada orang ramai agar tidak berputus asa walaupun berdepan kejatuhan paling sukar.

Menerusi perkongsian di media sosial, lelaki berusia 38 tahun itu mendedahkan kehidupannya berubah secara drastik selepas pandemik Covid-19 melanda pada 2020.

Menurutnya, ketika berusia 34 tahun, dia bekerja dalam industri acara dengan pendapatan sekitar RM8,000 sebulan sebelum kehilangan pekerjaan akibat pembatalan pelbagai program.

BACA LAGI: Dari kasut manik RM2,000 hingga keris nadir, Festival Kraf Johor himpun penggiat kraf tradisional

BACA LAGI: Usahawan F&B kongsi realiti persaingan bisnes, nasihat tak perlu 'perang' harga demi tarik pelanggan

“Selepas itu, saya terpaksa bekerja sebagai kurier dengan gaji bersih sekitar RM2,300 sebulan,” katanya berkongsi kisah itu di Threads.

Keadaan kewangan yang tertekan mendorongnya mengambil jalan salah demi menyara keluarga, termasuk isterinya yang ketika itu sedang hamil.

Dia mengakui terlibat dalam aktiviti penyeludupan warga asing tanpa dokumen dari sempadan Thailand ke seluruh Semenanjung Malaysia sebelum ditahan dalam satu operasi sekatan jalan raya di Kuala Lipis, Pahang.

 

"Aku ambil warga asing dari sempadan Thai yang pasport dan pengenalan diri pun tak ada, delivery seluruh Semenanjung. 

"Satu hari aku kena roadblock, selalu boleh 'kaw tim' tapi hari tu ada operasi dan aku dikira jackpot.

"Bermulalah perjalanan 29 hari balai, 8 bulan reman sampai Mahkamah Tinggi Temerloh," ceritanya lagi.

Dia akhirnya dijatuhi hukuman penjara selama 26 bulan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berkaitan pemerdagangan manusia.

Ketika menjalani hukuman, isterinya terpaksa melahirkan anak tanpa kehadirannya dengan dia tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

“Kereta ditarik, rumah disita, akaun bank dibekukan dan saya dipantau selepas dibebaskan,” katanya.

Dia dibebaskan ketika berusia 38 tahun, tanpa simpanan, harta atau kenderaan, selain berdepan stigma masyarakat dan rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun, dia tidak menjadikan keadaan itu sebagai alasan untuk terus tenggelam.

Dalam tempoh setahun selepas dibebaskan, dia mula membina semula kehidupan sebagai pereka grafik bebas dan kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.

“Saya belajar erti reda dan syukur. Apa yang berlaku adalah satu tamparan yang sangat kuat, tetapi ia mengubah hidup saya,” katanya.

Dia menegaskan bahawa penglibatannya dalam aktiviti jenayah tersebut berpunca daripada desakan hidup dan bukan bermotifkan lain.

“Saya hanya 'bilis' (orang kecil). Permintaan terhadap buruh murah sangat tinggi, terutama di kawasan sempadan. Ia berlaku kerana wujudnya permintaan.

"Mereka (sindiket) bayar cash dan purata boleh buat duit RM12,000 seminggu, aku terdesak waktu itu. 

"Hari ni aku designer lepas setahun bebas. What is stopping you?,” katanya sambil menegaskan dia telah insaf dan tidak lagi terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang.

Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-rata melihat kisah tersebut sebagai peringatan bahawa kesilapan masa lalu tidak semestinya menutup peluang untuk bangkit dan memulakan hidup baharu. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram