SEORANG penduduk meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang didakwa menyimpang daripada aduan asal sehingga menimbulkan masalah baharu di kawasan perumahan.
Menurut penduduk terbabit, aduan yang dibuat beberapa bulan lalu hanyalah berkaitan sebuah push-cart berwarna perak yang ditinggalkan tanpa pemilik dan tidak digunakan hampir tiga tahun, serta diletakkan betul-betul di pintu belakang rumah mereka.
Aduan tersebut dibuat dengan harapan pihak majlis dapat menyita atau mengalihkan gerai terbiar itu kerana mengganggu akses dan keselamatan. Namun, apa yang berlaku selepas itu menimbulkan persoalan.
BACA LAGI: Selangor perluas program kebun komuniti perkukuh keterjaminan makanan
BACA LAGI: [VIDEO] Peniaga mualaf di Puchong raih pujian, kebersihan gerai nasi ayam tarik perhatian ramai
Luahan di Threads Nor Farhana Zainal Abidin itu memaklumkan bahawa pihak PBT berkenaan dipercayai mengambil tindakan menyaman peniaga lain yang menjalankan bisnes di kawasan berdekatan.
“Beberapa bulan lepas suami buat aduan minta sita atau ambil stall yang betul-betul belakang pintu kami sebabnya stall tu dah park situ tanpa pemilik dekat tiga tahun. Itu saja aduan kami, langsung tak sebut pasal peniaga tepi ke apa pun.
"Tapi lepas terima aduan, pihak PBT saman orang yang berniaga tepi tu alasannya sebab mereka kata terima aduan," katanya.
Lebih mengecewakan, tidak lama selepas tindakan saman tersebut, status aduan dalam sistem PBT ditandakan sebagai ‘kes selesai’, walaupun isu utama masih belum diselesaikan.
Keadaan kawasan itu juga didakwa menjadi semakin teruk. Daripada hanya sebuah gerai yang terbiar, kini jumlah gerai meningkat kepada tiga buah, selain lambakan sampah yang sebelum ini tidak pernah berlaku.
“Sekarang bau busuk mula masuk ke dalam rumah. Sampah makin banyak, keadaan makin tidak terkawal. Rumah sebelah pula terbiar seperti rumah hantu. Kami yang buat aduan, tapi akhirnya kami pula yang menanggung akibat,” ujarnya.
Penduduk tersebut turut mempersoalkan ketelusan dan prosedur siasatan PBT, khususnya bagaimana sesuatu aduan boleh diselesaikan tanpa menyentuh isu sebenar yang dibangkitkan oleh pengadu.
Dia merancang untuk mengemukakan aduan susulan secara bertulis, lengkap dengan nombor rujukan aduan terdahulu, nama pegawai yang mengendalikan kes serta anggota penguat kuasa yang terlibat dalam tindakan saman, bagi menuntut penjelasan dan tindakan yang lebih adil.
Isu itu sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai kecekapan pengurusan aduan awam, serta keperluan PBT memastikan tindakan yang diambil benar-benar selari dengan aduan asal demi menjaga keharmonian penduduk setempat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
