MAHKAMAH Rayuan memerintahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, membayar RM250,000 sebagai ganti rugi kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, atas fitnah berhubung kenyataannya dalam sebuah forum enam tahun lalu.
Hakim Azimah Omar yang kini bertugas sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan berkata, Pesuruhjaya Kehakiman terdahulu melakukan kesilapan apabila menolak tuntutan Yeoh.
Beliau menjelaskan pembelaan Musa berasaskan justifikasi, ulasan adil dan keistimewaan terhad tidak dapat diterima.
"Walaupun defendan memegang jawatan berpengaruh, ia tidak membenarkan beliau (Musa) menyebarkan maklumat palsu secara sembarangan.
BACA LAGI : MINDEF arah ATM ambil tindakan tegas, siasat dakwaan aktiviti tak bermoral di kem tentera
BACA LAGI : [VIDEO] Hanya bermula dengan 3 kambing, anak Johor ubah ladang kecil jadi empayar tenusu
"Beliau gagal membuktikan pembelaan fair comment atau qualified privilege, dan alasan niat jahat turut ditolak," katanya ketika membacakan keputusan pada Selasa.
Panel hakim yang bersidang sebulat suara, turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan Dr Choo Kah Sing dan Dr Shahnaz Sulaiman, menolak hujah Musa bahawa jawatannya sebagai Ketua Polis Negara memberi kebebasan untuk bercakap mengenai hal kebangsaan atau agama.
Hakim Azimah berkata mahkamah mengambil kira keseriusan kenyataan fitnah itu dan impaknya terhadap reputasi peribadi dan profesional Yeoh.
"Kenyataan itu serius, terbuka dan amat merugikan. Tindakan defendan menunjukkan kecuaian dan tidak menghormati hak plaintif," katanya.
Mahkamah Rayuan memerintahkan Musa membayar RM250,000 sebagai ganti rugi dan RM60,000 sebagai kos guaman.
Dalam sidang media kemudian, Hannah berkata beliau bersyukur dengan keputusan itu.
"Selama enam tahun, saya terpaksa hidup dengan fitnah dan pembohongan di media sosial yang mencemarkan nama saya akibat kenyataan bekas Ketua Polis Negara," katanya.
Musa tidak hadir sepanjang prosiding. Tindakan undang-undang tersebut difailkan oleh Hannah pada 2020 berhubung kenyataan Musa dalam forum di Universiti Teknologi Mara pada 30 Januari tahun itu.
Pada 23 Disember 2024, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan Hannah, namun beliau kemudian merayu keputusan tersebut. — The Star/ NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
