SEORANG pengguna pengangkutan awam berkongsi pengalaman positif menggunakan perkhidmatan bas GO KL yang menurutnya selesa, bersih dan menjimatkan, sekali gus sesuai untuk kegunaan pelancong serta orang awam.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, pengguna dikenali sebagai Mariah Airiens Doksil memaklumkan dia bersama keluarga telah mencuba perkhidmatan bas tersebut dengan tambang serendah RM1 bagi setiap perjalanan.
Menurutnya, dia mengetahui mengenai perkhidmatan bas GO KL menerusi kandungan yang dikongsikan oleh seorang pempengaruh dari Indonesia di platform TikTok.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Alas mana?', peniaga susun nasi lemak atas meja tanpa lapik cetus kebimbangan kebersihan

Perkhidmatan bas GO KL ditawarkan pada kadar tambang serendah RM1 bagi setiap perjalanan. — Gambar hiasan/ Facebook
“Berdasarkan maklumat di laman web rasmi GO KL, terdapat 11 laluan berbeza yang dibezakan mengikut warna, dengan kekerapan bas sekitar setiap 10 hingga 15 minit, yang saya rasa sangat memuaskan,” katanya.
Mariah berkata, pada awalnya mereka merancang untuk berjalan kaki dari Fahrenheit88 ke Aquaria KLCC melalui laluan hijau, namun memutuskan untuk mencuba bas GO KL selepas mendapati hentian bas terletak betul-betul di hadapan pusat beli-belah tersebut.
“Bas berhenti betul-betul di depan Fahrenheit88 dan terus ke Suria KLCC. Keadaan bas sangat selesa dan tidak sesak, mungkin kerana hari bekerja,” katanya.
Pengalaman sama turut dirasai ketika menggunakan laluan ungu dari Pasar Seni pada waktu tengah hari, yang disifatkannya bersih dan tidak dipenuhi penumpang.
Bagaimanapun, dia turut menegur satu kelemahan yang dirasakan perlu diberi perhatian segera, iaitu kaedah pembayaran yang hanya menerima kad Touch ’n Go atau penggunaan MyKad yang perlu ditambah nilai terlebih dahulu.
“Bukan semua orang biasa menggunakan Touch ’n Go, terutama bagi mereka yang datang dari luar kawasan bandar seperti kami dari Sepanggar,” katanya.
Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna media sosial lain yang rata-rata bersetuju bahawa perkhidmatan bas GO KL wajar dipuji, namun mencadangkan agar kaedah pembayaran diperluaskan bagi memudahkan lebih ramai pengguna, khususnya pelancong dan pengunjung dari luar Kuala Lumpur.
"Peraturan tulis 'hanya menerima pembayaran melalui Touch n Go' agak tidak user-friendly, terutamanya buat kami dari East Malaysia yang 'can’t relate'," komen Amy Dangin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
