'Kenaikan elaun MyStep isyarat positif, tapi masih belum cukup'


  • Massa
  • Jumaat, 09 Jan 2026

Rata-rata graduan memilih untuk mencuba nasib dalam program MySTEP meskipun menyedari gaji ditawarkan masih rendah.

INISIATIF Malaysia Short-Term Employment Programme atau MySTEP yang pertama kali dilancarkan pada 2021 bertujuan memberi peluang kepada graduan menimba pengalaman.

Program berkenaan dapat disertai selepas penuntut di mana-mana institut pengajian tinggi menamatkan pengajian dan masih belum menerima sebarang tawaran kerja.

Namun, meskipun jumlah permohonan tinggi setiap tahun, masih kedengaran keluhan daripada graduan yang menyertainya kerana jumlah elaun ditawarkan terlalu rendah.

BACA LAGI: Reformasi pendidikan diperkasa, KPM capai pelbagai kejayaan utama dalam tempoh 3 tahun 

BACA LAGI: Tak lagi berminat mengajar antara punca utama lebih 5,000 guru mohon bersara awal setiap tahun

Inisiatif MySTEP diperkenalkan bagi menawarkan peluang pekerjaan buat graduan.

Bayaran RM2,100 ditetapkan dikatakan tidak sesuai berdasarkan kos sara hidup ketika ini, lebih-lebih dengan pekerja MySTEP tidak layak memohon Elaun Lebih Masa.

Menyedari keluhan berkenaan, kerajaan mengumumkan kadar tersebut sudah dirujuk semula dan dinaikkan mengikut taraf pendidikan pekerja.

Sebagai contoh, sekiranya sebelum ini petugas MySTEP dengan kelayakan Ijazah Sarjana Muda hanya menerima RM2,100, penyelarasan terbaru menyaksikan kenaikan RM200.

Ini merupakan isyarat jelas daripada kerajaan dalam memastikan pekerja di bawah skim itu dapat bertugas dengan cekap tanpa dibebani masalah kos sara hidup.

Gaji ditawarkan kepada petugas menerusi skim MySTEP dikatakan tidak setimpal.

Bagaimanapun, kadar yang baru diperkenalkan itu dianggap masih belum mencukupi seperti mana ditegaskan Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhammad Zulhafiz Haqimi Salim.

"Dalam kita menghargai kenaikan gaji tersebut, saya lihat ada ruang yang perlu dinilai semula oleh kerajaan iaitu, Adakah nilai RM2,300 ini sudah benar-benar mencapai tahap "Gaji Bermaruah" bagi seorang pemegang ijazah pada 2026? 

"Kalau hari ini gajinya RM2,300, bersih dapatlah dalam RM2,030 ke RM2,050, masih jauhlah nilai gaji graduan kita dengan saranan bank negara kita sendiri," tulisnya di laman Facebook.

Pandangan tersebut disertakan dengan standard Gaji Sara Hidup pernah digariskan Bank Negara Malaysia (BNM) dua tahun lalu yang menegaskan individu bujang di bandar besar memerlukan RM2,700.

PUTRAJAYA, 1 Mei -- Ahli-ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhimpun pada Sambutan Hari Pekerja Cuepacs 2023 hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tawaran gaji lebih berbaloi dapat meningkatkan produktiviti dalam kalangan petugas MySTEP.

Tambahnya, meskipun ada yang berpandangan inisiatif MySTEP berkonsepkan pelan jangka masa pendek, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menawarkan gaji tidak berpatutan.

"Jurang antara upah seorang graduan profesional dengan kadar Gaji Minimum nasional (RM1,700) menjadi semakin nipis. 

"Kita hargai kenaikan gaji minimum untuk semua pekerja, namun pada masa sama, nilai pelaburan pendidikan dan profesionalisme seorang graduan perlu diberikan pengiktirafan setimpal melalui tangga gaji yang lebih kompetitif," katanya.

Penjelasan diberikan itu menekankan betapa pentingnya gaji berpatutan buat graduan meskipun MySTEP diperkenalkan sebagai inisiatif berkonsepkan intervensi bagi mengurangkan pengangguran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram