Usaha 20 tahun, kerjasama Bioeconomy Corporation-MOSTI sumbang hampir RM40 bilion, jana lebih 16,000 peluang pekerjaan


  • Massa
  • Rabu, 07 Jan 2026

Kerjasama antara MOSTI dan Bioeconomy Corporation merancakkan lagi industri bioteknik dan inovasi dalam negara.

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan Bioeconomy Corporation menyumbang RM39.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh 20 tahun.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pencapaian 20 tahun dicatatkan mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap agensi tersebut untuk menerajui bioekonomi negara ke arah daya saing global.

“Dengan sokongan MOSTI, Bioeconomy Corporation terus memacu kemajuan di bawah DBN 2.0 dengan aspirasi untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara bioinovasi berteknologi tinggi menjelang 2030.

BACA LAGI: Asia ESG Summit 2025 jadi pentas kukuhkan komitmen serantau terhadap masa depan lestari

BACA LAGI: [VIDEO] Satelit penderiaan jauh keluaran syarikat tempatan, UzmaSAT-1 berjaya dilancar pada Rabu

Lih Kang menzahirkan penghargaan terhadap keupayaan Bioeconomy Corporation selepas 20 tahun ditubuhkan.

"Pencapaian ini adalah hasil kepakaran, pengalaman dan keupayaan pelaksanaan Bioeconomy Corporation yang dibina sepanjang 20 tahun penubuhannya," kata beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, anggaran nilai pelaburan dan komersial yang direkodkan di bawah seliaan Bioeconomy Corporation meningkat hampir 60 peratus kepada lebih RM2.44 bilion pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.

Catatan itu menyaksikan agensi terbabit sudah menyumbang sebanyak RM39.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sepanjang tempoh 20 tahun.

Bioeconomy Corporation sebelum ini ditubuhkan susulan pengenalan Dasar Bioteknologi Negara (DBN) pada 2005 dan diperkukuh menerusi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) yang dilancarkan pada 2022.

Status BioNexus merupakan satu daripada dua program diperkenalkan Bioeconomy Corporation.

Menerusi dua program utamanya, iaitu Status BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA), agensi itu sudah memudah cara lebih RM14.6 bilion pelaburan yang diluluskan.

Ini sekali gus menjana lebih 16,600 peluang pekerjaan di seluruh negara serta menyokong hampir 650 syarikat Status BioNexus dan BBA.

“Kami yakin nilai yang lebih besar akan dicapai pada masa depan, terutamanya apabila organisasi ini memfokuskan strategi lima tahun akan datang kepada enam subsektor bernilai tinggi dan berpotensi pertumbuhan pesat," kata Lih Kang lagi.

Enam subsektor dimaksudkan merupakan protein generasi baharu, pembiakan regeneratif, bahan lestari, bahan kimia berasaskan-bio, perubatan regeneratif dan diagnostik ketepatan.

Khairul Fidzal menegaskan kerjasama erat dengan MOSTI menjadi pemangkin buat Bioeconomy Corporation.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bioeconomy Corporation, Khairul Fidzal Abdul Razak menjelaskan pencapaian organisasi itu adalah kerana sokongan kukuh MOSTI.

Di samping itu, kerjasama rapat bersama kementerian, agensi tempatan dan antarabangsa, pemain industri, institusi akademik serta rakan strategik lain dalam ekosistem bioekonomi turut memainkan peranan penting.

“Pada 2026, kami menyasarkan untuk menjana sekurang-kurangnya RM2.2 bilion hasil daripada syarikat Status BioNexus dan BBA.

"Selaras dengan keutamaan Kerajaan MADANI, kami juga akan meneroka penerapan penyelesaian digital dan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu meningkatkan skala dan mempercepatkan pertumbuhan syarikat dengan lebih cekap,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penumpuan AI merentas sektor pertanian, penjagaan kesihatan dan bioekonomi industri akan memperkukuh keselamatan makanan, memacu inovasi penjagaan kesihatan, menyokong ekonomi kitaran serta membuka peluang ekonomi baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram