
PUSAT Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) mengambil langkah lebih awal memperkukuh kesedaran awam terhadap fenomena geologi gempa bumi melalui penganjuran ‘Sciences Journey Carnival STI MADANI’.
Ia susulan penemuan kajian terkini pemetaan sesar aktif oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Peta Seismotektonik Malaysia yang mengenal pasti kewujudan zon sesar di Terengganu, sekali gus meletakkan negeri itu dalam perhatian berkaitan potensi risiko gempa bumi.
Program tersebut berlangsung selama dua hari pada 4 dan 5 Oktober lalu di Dewan Balora, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Hulu Dungun berjaya mencatatkan kehadiran seramai 5,700 pengunjung.
BACA LAGI: 'Beli kosmetik pun ada pahala yang mengalir', Anas Zahrin derma RM50,000 buat Persatuan Cinta Gaza
Mohd Huzairil berkata, rakyat negeri Terengganu memperoleh manfaat melalui pendidikan risiko bencana.
Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, pihaknya mempergiatkan usaha pendidikan dan penyebaran maklumat berkaitan bencana alam, khususnya kepada pelajar dan golongan belia termasuk mereka yang berada di luar bandar.
“Melihat pada kenyataan terkini minggu ini, PSKT sebagai pemegang taruh sama ada secara terus atau tidak bagi pendidikan sains, teknologi mahupun inovasi berada di landasan tepat untuk memberi pendedahan awal pendidikan risiko bencana kepada rakyat negeri Terengganu melalui penganjuran karnival sains yang telah melabuhkan tirai di Hulu Dungun pada hujung minggu lalu.
“Jalinan strategik bersama lain-lain pemegang taruh dari agensi berkaitan kerajaan dan pemain-pemain industri seperti PETRONAS dan KETENGAH untuk turut berkongsi pengetahuan mahupun kepakaran dengan masyarakat luar bandar menjadi tambah nilai besar bagi program itu yang tidak hanya menyasarkan kehadiran oleh pelajar-pelajar sekolah malah penduduk setempat," katanya.
Beliau berkata, slot bual bicara ‘Gempa Bumi dan Keselamatan Diri’ yang disampaikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) juga dilihat tepat pada masanya sejajar dengan perkembangan terkini berkaitan fenomena geologi tersebut.
Peranti pengesan gegaran gempa bumi Episensor model FBA ES-T yang dibawa dari ibu pejabat MET Malaysia dipamerkan di Science Journey Carnival STI Madani.
MET Malaysia mempamerkan peralatan dan peranti berkaitan fungsi agensi itu sewaktu penganjuran Science Journey Carnival STI Madani.
Tambah menarik, slot bual bicara itu disampaikan sendiri oleh individu yang sepatutnya iaitu Ahmad Rifaie Ahmad Ridzuan yang menjawat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Teknikal Gempa Bumi dan Tsunami MET Malaysia.
Ahmad Rifaie sementara itu berkata, hasil maklum balas yang diterima adalah positif di mana penduduk Dungun dapat memberi respons dan cakna dengan apa yang terjadi di sekitar mereka termasuk insiden gempa bumi di Segamat baru-baru ini.
"Dengan adanya program-program merakyatkan aktiviti sedemikian, mereka dapat mempelajari sesuatu daripada saya dan pada masa sama, saya mempelajari sesuatu daripada orang awam khususnya masyarakat setempat," katanya.
Menurutnya lagi, program bual bicara itu memberi pentas untuk komunikasi dua hala terus kepada audiens bagi setiap persoalan mahupun perkongsian pendapat.
"Ini memberi satu penanda aras awal kecaknaan masyarakat setempat dan seharusnya program sebegini sentiasa diadakan juga di lain-lain kawasan,” ujar Ahmad Rifaie yang pertama menerima jemputan untuk perkongsian kepakarannya bersama masyarakat di Terengganu.
Ahmad Rifaie (kanan) berkongsi peranan agensi itu kepada pengunjung Science Journey Carnival STI Madani yang berlangsung pada 4 dan 5 Oktober 2025 di Bandar Al Muktafi Billah Shah.
Pada penganjuran karnival sains itu memanfaatkan sepenuhnya geran STI MADANI dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Selain pameran dan aktiviti berkaitan STEM yang berlangsung di dalam dewan utama, turut berlangsung di perkarangan dewan adalah sukaneka, pertunjukkan silap mata dan cerapan langit.
Turut berlangsung adalah pameran dan perkhidmatan daripada pelbagai agensi dan pelbagai lagi yang turut menarik kehadiran orang ramai dari pelbagai latar belakang.
Hadir selaku rakan strategik adalah PETRONAS melalui PETROSAINS dan KETENGAH yang merupakan institusi pentadbiran bagi masyarakat luar bandar di Hulu Dungun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram