Syarikat milik TMJ lancar RMJDT, stablecoin disokong ringgit pacu inovasi blockchain negara


  • Bisnes
  • Rabu, 10 Dis 2025

Tunku Ismail (kanan) melancarkan RMJDT iaitu stablecoin yang disandarkan kepada Ringgit Malaysia melalui Bullish Aim Sdn Bhd. — Bloomberg

DUNIA kewangan digital tempatan menyaksikan pengenalan RMJDT iaitu stablecoin yang disandarkan kepada Ringgit Malaysia melalui syarikat milik Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Bullish Aim Sdn Bhd.

RMJDT dijangka dikeluarkan di atas rangkaian Zetrix AI, iaitu infrastruktur yang menjadi tulang belakang kepada Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI) bagi membolehkan transaksi cross-platform yang lebih pantas dan selamat.

Menerusi laporan Bloomberg, RMJDT disokong oleh deposit tunai dalam mata wang ringgit serta bon kerajaan Malaysia jangka pendek, satu mekanisme yang lazimnya digunakan untuk memastikan nilai stablecoin kekal stabil. 

BACA LAGI: [VIDEO] Restoran Khairul Aming cuma dapat ‘rate’ 1 bintang meskipun belum beroperasi, macam-macam ragam manusia

BACA LAGI: Bermula sebagai tukang masak, anak Penang buka restoran di Singapura jadi rakyat Malaysia pertama raih 2 bintang Michelin

Bullish Aim akan menubuhkan sebuah syarikat perbendaharaan digital dengan pemulaan sebanyak RM500 juta dalam bentuk token Zetrix yang berpotensi melonjak ke RM1 billion bagi menstabilkan yuran transaksi jaringan RMJDT.

Pelancaran itu pastinya menarik minat ramai pelabur dan penganalisis serta perunding kewangan untuk berkongsi pendapat masing-masing. 

Seorang perunding kewangan, Ikhwan Hafiz dari Ikhwan Group Consulting di Threads berkata, cryptocurrency dan stablecoin berada di bawah regulator yang berbeza.

Katanya, cryptocurrency seperti Bitcoin, Ethereum dan lain-lain dianggap digital asset di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Stablecoin pula disandarkan kepada mata wang fiat, seperti RMJDT, diletakkan di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM) kerana fungsinya sebagai instrumen pembayaran digital.

Beliau menjelaskan bahawa stablecoin secara asasnya bukan bertujuan untuk pelaburan jangka panjang, sebaliknya digunakan bagi tujuan pembayaran digital dan transaksi harian.

Kemunculan RMJDT menambah warna baharu kepada ekosistem fintech Malaysia. 

Secara amnya, RMJDT dijangka menjadi pemangkin penting kepada pelaku industri, terutamanya perusahaan yang terlibat dalam perdagangan luar negara yang memerlukan kestabilan nilai mata wang serta ketelusan transaksi.

Pelancaran stablecoin ini juga dilihat sebagai perkembangan signifikan dalam perjalanan Malaysia ke arah memperkukuh ekonomi digital, dengan Johor terus muncul sebagai negeri yang agresif dalam ekosistem teknologi dan pelaburan baharu.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram