MARA perkenal garis panduan baharu kawal kutipan PIBG MRSM, tak bebankan ibu bapa berpendapatan rendah


  • Massa
  • Rabu, 10 Dis 2025

Asyraf memaklumkan garis panduan itu akan merangkumi peraturan, tatacara serta kawal selia terhadap semua kutipan dan perbelanjaan MUAFAKAT, termasuk kewajipan audit ke atas pendapatan serta penggunaan dana.

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) bakal memperkenalkan Garis Panduan khas bagi menyelaraskan semua kutipan yuran dan bayaran tambahan yang dikenakan badan MUAFAKAT, iaitu organisasi setara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melalui kenyataan di Facebook pada Rabu memaklumkan garis panduan itu akan merangkumi peraturan, tatacara serta kawal selia terhadap semua kutipan dan perbelanjaan MUAFAKAT, termasuk kewajipan audit ke atas pendapatan serta penggunaan dana.

Menurutnya, beliau sudah mengarahkan Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi meneliti secara terperinci operasi badan tersebut sebelum merangka garis panduan yang akan menjadi peraturan mengikat kepada semua MUAFAKAT di MRSM.

BACA LAGI : Asyraf Wajdi 'tebuk hafazan' pelajar 10A+ SPM, komited sedia tajaan MARA lanjut pengajian juruterbang

BACA LAGI: [VIDEO] 'Apa salahnya pelawa adik saya duduk', gadis bertongkat patah paha, genap sebulan kehilangan ibu akibat nahas

"Langkah ini penting untuk mengelakkan pertikaian mengenai perbelanjaan, selain memastikan tidak wujud yuran melampau atau caj tambahan atas nama sumbangan yang akhirnya membebankan ibu bapa berpendapatan rendah," katanya.

Asyraf turut mendedahkan terdapat MRSM yang mewajibkan pelajar membeli sehingga lapan atau sembilan jenis pakaian semasa pendaftaran, termasuk pakaian maktab, batik dan korporat, sekali gus meningkatkan kos permulaan untuk keluarga kurang berkemampuan.

Jelas beliau lagi, dengan pelaksanaan garis panduan baharu itu nanti, MARA kebajikan pelajar daripada keluarga B40 dan golongan yang kurang berkemampuan dapat lebih terpelihara dan tidak terbeban dengan bayaran tambahan yang berlebihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram