BEKAS pelakon yang juga balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Ezette, meluahkan rasa sebak ketika mengenang kebaikan serta pengorbanan suaminya, yang disifatkan sebagai insan berhati mulia dan tidak pernah mementingkan diri.
Menerusi perkongsian di Insta Story pada Ahad, Zizie, 47, menyatakan bahawa arwah suaminya sentiasa bekerja keras demi orang sekeliling dan memberikan sepenuh komitmen sepanjang 16 tahun mereka bersama.
BACA LAGI: 'Ada doa tanpa kata-kata, hanya air mata,' Zizie Izette luah rasa hiba pemergian Bung Moktar
BACA LAGI: [VIDEO] Sisi tak diketahui, Bung Moktar insan penuh kasih sayang di samping anak-anak, keluarga
“Terima kasih untuk 16 tahun bersama. Awak bekerja begitu kuat untuk semua orang dan sentiasa memberikan yang terbaik.
“Awak berjuang untuk orang di sekeliling, bukan untuk diri sendiri. Awak benar-benar tidak mementingkan diri.
“Sekarang setelah awak tiada, orang akhirnya bercakap tentang kebaikan awak, pengorbanan awak dan semua perbuatan baik awak,” tulisnya.
Zizie turut mengenang pesanan Allahyarham yang sentiasa mengingatkannya supaya berbuat baik secara ikhlas tanpa mengharapkan pengiktirafan.

Tangkap layar Insta Story Zizie.
"Saya tidak akan melupakan nasihat awak: 'jika tangan kanan memberi kepada seseorang, tangan kiri tidak patut tahu. Simpan, sembunyikan. Biarlah kebaikan itu hanya ALLAH yang tahu.
"Begitu juga awak (arwah Bung Moktar) tidak pernah mahukan pengiktirafan... awak melakukan segala-galanya dari hati awak,” tambahnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas segala kebaikan Allahyarham sepanjang mereka hidup bersama, yang menurutnya akan terus dibawa dan diwariskan kepada anak-anak mereka.
"Terima kasih atas segalanya yang pernah dicurahkan kepadaku. Saya akan terus bawa, menghargainya, dan turunkan kepada anak-anak kita, jadi sebahagian daripada awak terus hidup bersama kami.
“Semoga ALLAH mengampunkanmu, melimpahkan rahmat-Nya ke atasmu dan mengurniakanmu syurga,” tambahnya.

Bung Mokhtar dikenali sebagai ahli politik berpengaruh Sabah. — Instagram
Pada Jumaat lalu, Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah.
Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas pada pukul 2.10 petang hari yang sama.
Untuk rekod, Zizie dan Allahyarham Bung Moktar mendirikan rumah tangga pada 2009 dan dikurniakan empat orang cahaya mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
