[VIDEO] ‘Tersangkut’ di kaki lima kedai, pemandu kereta liat bayar hutang punca gaduh di Sungai Besar


  • Kes
  • Khamis, 04 Dis 2025

Tangkap video tular memaparkan empat lelaki termasuk seorang pemandu kereta terbabit dalam pergaduhan di SBBC 3, Sungai Besar.

SUASANA di Jalan Sungai Besar Business Centre (SBBC) 3, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor bertukar kecoh apabila aksi sebuah kereta berundur secara agresif hingga merempuh seorang lelaki tular di media sosial sejak Rabu.

Dalam rakaman berdurasi lebih dua minit, kedengaran suara seorang wanita panik melihat kejadian terbabit. 

"Orang tu mabuk ke? Ya ALLAH pecah tingkap dia… Astaghfirullah. Wei, kenapa itu? Takut aku dia kena gilis,” katanya ketika menyaksikan detik mencemaskan berkenaan.  

BACA LAGI: Letak bom palsu di rak kedai serbaneka, polis Manjung tahan suspek

BACA LAGI: Kebajikan polis lebih terjamin, PDRM mampu miliki aset terkini jika wujud kementerian khas — VPOL

Difahamkan, insiden bermula selepas berlaku pertengkaran antara tiga lelaki dengan seorang pemandu kereta. 

Ketiga-tiga individu itu didakwa memukul cermin dan bahagian badan kenderaan terbabit sebelum pemandu bertindak balas secara agresif.

Pemandu tersebut kemudian mengundurkan keretanya beberapa kali dipercayai untuk melarikan diri, namun tindakan itu menyebabkan dua kenderaan lain rosak. 

Keadaan bertambah parah apabila kereta berkenaan melanggar seorang lelaki sebelum 'tersangkut' di kaki lima kedai.

Walaupun kereta sudah berhenti, tiga lelaki itu tetap terus mengetuk dan mendesak pemandu agar keluar.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad mengesahkan kejadian berpunca daripada tuntutan hutang.

"Motif kejadian berlaku apabila ketiga-tiga suspek mahu menuntut hutang yang dipinjam oleh pemandu kereta," katanya. 

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 5.34 petang dan bertindak menahan empat lelaki berusia 31 hingga 53 tahun di lokasi kejadian antara pukul 5.20 hingga 6 petang hari sama.

"Tiga daripada mereka merupakan ahli keluarga (pemiutang) manakala seorang lagi adalah penghutang,” jelasnya.

Tambah Md Yusof, kejadian turut menyebabkan tiga kereta mengalami kerosakan luaran serta kerosakan kecil di sekitar kaki lima kedai.

Polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 279 Kanun Keseksaan," jelasnya. 

Insiden berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi warganet yang rata-rata terkejut dengan cara penyelesaian keterlaluan yang berlaku di kawasan komersial terbuka. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram