Letak bom palsu di rak kedai serbaneka, polis Manjung tahan suspek


  • Kes
  • Selasa, 02 Dis 2025

Polis menahan seorang lelaki selepas satu objek menyerupai bom buatan sendiri ditemui di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Manjung Point pada Isnin.

SEORANG lelaki telah ditahan selepas satu objek menyerupai bahan letupan ditemui di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Manjung Point, Sitiawan, Perak.

Bagaimanapun, polis kemudian mengesahkan objek tersebut hanyalah palsu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.30 malam Isnin (1 Disember) mengenai penemuan objek yang menyerupai bom.

BACA LAGI: Kebajikan polis lebih terjamin, PDRM mampu miliki aset terkini jika wujud kementerian khas — VPOL

BACA LAGI: Tiada 'fear factor', polis Selangor sokong hukuman rotan dikembalikan demi disiplin pelajar

"Objek itu pertama kali ditemui oleh seorang pekerja kedai, yang melihatnya diletakkan di rak makanan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa (2 Disember).

Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom daerah bergegas ke lokasi dan mengesahkan objek berkenaan tidak berfungsi kerana tidak mengandungi sebarang bahan letupan serta mempunyai pendawaian yang tidak lengkap.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman.

Seorang lelaki yang dilihat berada di hadapan premis kemudian ditahan kerana disyaki meletakkan bom palsu tersebut, katanya sambil menambah bahawa kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan teknologi untuk mencipta sebarang bentuk ancaman yang boleh menimbulkan kegusaran awam atau mengganggu ketenteraman.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap sebarang ancaman keselamatan, terutama yang melibatkan keselamatan orang awam," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram