KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sudah mengumpul pelbagai bentuk bukti bagi menafikan dakwaan terdapat kesalahan dilakukan ketika penahanan Albert Tei.
Jelas beliau, segala bukti seperti rakaman video daripada kamera tubuh anggota diperoleh mengikut undang-undang.
"Anggota kami dilengkapi pelbagai alatan rakaman dan segalanya didokumenkan. Kami juga memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah dan semuanya sudah diserahkan kepada pihak polis," kata beliau.
BACA LAGI: SPRM akui sukar bawa pulang menantu Muhyiddin — Azam Baki
BACA LAGI: [VIDEO] SPRM nafi acu senjata ketika tahan Albert Tei

Azam menafikan beberapa dakwaan dibuat berhubung kesalahan dilakukan ketika proses penahanan Albert Tei.
Azam sebelum ini menolak dakwaan bahawa anggota SPRM mengacu senjata api ke arah kepala usahawan berkenaan ketika penahanannya dengan laporan polis berhubung perkara itu sudah dibuat.
Malah, beliau turut menepis kononnya SPRM bertindak menyita barangan peribadi berharga milik Albert Tei tanpa pengetahuannya seperti mana dikatakan isteri usahawan berkenaan.
Azam menjelaskan bahawa senarai barangan yang disita sudah diserahkan kepada Albert Tei pada hari penahanannya dengan dia sendiri sudah menandatangani dokumen itu.
Beberapa barangan, termasuk telefon, sebuah iPad dan perakam video digital merupakan antara yang dirampas sebagai bahan bukti dalam siasatan sedang dijalankan. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
