LANDSKAP politik Sabah kembali berubah apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, membuat kejutan dengan memasukkan Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jafry Ariffin, ke dalam barisan Kabinet baharu yang mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu di Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.
Jafry, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau mewakili Barisan Nasional (BN), merupakan antara muka baharu yang mengangkat sumpah bersama beberapa pemimpin lain termasuk Presiden Upko, Datuk Ewon Benedick; satu-satunya wakil Pakatan Harapan yang menang, Datuk Jamawi Jaafar; Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Julita Mojungkil; Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Rubin Balang dan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Titingan.
Hajiji turut mengekalkan beberapa muka lama dalam Kabinet beliau, antaranya Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Timbalan Presiden Gagasan Rakyat merangkap Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun; Datuk Mohd Arifin Ariff serta ADUN Sugut, Datuk James Ratib.
BACA LAGI : Bangunkan platform digital PEKA OKU, guru wanita pendidikan khas dianugerah Malaysia Teacher Prize 2025
BACA LAGI : Tiada rombakan Kabinet besar-besaran, hanya isi kekosongan — PM Anwar
Dalam senarai baharu itu, Joachim sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I, Masidi sebagai Timbalan Ketua Menteri II, manakala Ewon mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri III.
Upacara angkat sumpah berlangsung pada PUKUL 3.30 petang dan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di kediaman rasmi beliau.
Semua menteri baharu menandatangani dokumen pelantikan yang disaksikan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.
Pilihan raya negeri baru-baru ini menyaksikan persaingan unik apabila BN Sabah yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin dan GRS pimpinan Hajiji walaupun sama-sama berada dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Namun, kedua-duanya tidak meletakkan calon menentang Pakatan Harapan berdasarkan pakatan pilihan raya.
Keputusan rasmi menunjukkan BN memenangi enam kerusi (lima Umno dan satu Parti Bersatu Rakyat Sabah), manakala Upko meraih tiga kerusi selepas keluar daripada blok Pakatan lima hari sebelum hari mengundi.
GRS pula muncul sebagai gabungan terbesar dengan 29 kerusi (Gagasan Rakyat 23, PBS 6), diikuti Pakatan dengan satu kerusi.
Ini memberi GRS majoriti selesa 39 kerusi apabila lima ADUN Bebas turut menyatakan sokongan kepada kerajaan baharu tersebut.
Di blok pembangkang, Warisan yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memperoleh 25 kerusi, manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan Datuk Seri Jeffrey Kitingan menang dua kerusi dan Parti KDM satu kerusi daripada keseluruhan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah.
Berikut adalah anggota Kabinet:
1. Timbalan Ketua Menteri I
Menteri Kerja Raya dan Utiliti
Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (GRS-Parti Bersatu Sabah).
2. Timbalan Ketua Menteri II
Menteri Kewangan
Datuk Seri Masidi Manjun (GRS-Gagasan Rakyat).
3. Timbalan Ketua Menteri III
Menteri Perindustrian, Usahawan dan Pengangkutan
Datuk Ewon Benedick (Upko)
4. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan
Datuk Mohd Arifin Mohd.Arif (GRS-Gagasan Rakyat)
5. Kementerian Pembangunan Belia dan Sukan dan Ekonomi Kreatif
Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (GRS-Gagasan Rakyat)
6. Menteri Pembangunan Luar Bandar
Datuk Rubin Balang (GRS- Gagasan Rakyat).
7. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan
Datuk Jamawi Jaafar (Pakatan Harapan-PKR)
8. Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat
Datuk Julita Majungki (GRS-PBS)
9. Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi
Datuk James Ratib (GRS-Gagasan Rakyat)
10. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar
Datuk Jafry Arifin (Barisan Nasional- Umno). — The Star/ MUGUNTAN VANAR, TARRENCE TAN dan GERARD GIMINO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
