Pengusaha roti nan sejuk beku pertahan uli doh guna tangan, jelaskan sebab tak sesuai pakai 'glove'


  • Bisnes
  • Isnin, 01 Dis 2025

SEORANG pengusaha roti nan sejuk beku, Auntie_Naan, tampil mempertahankan kaedah menguli doh menggunakan tangan selepas menerima teguran netizen yang meminta supaya dia memakai sarung tangan demi menjaga kebersihan.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Threads, Auntie Naan berkongsi komen berbunyi: “Tolong pakai glove untuk jaga kebersihan masa buat roti, geli la tengok.”

Namun menurut pengusaha itu, ramai tidak mengetahui bahawa kerja menguli doh tidak sesuai menggunakan sarung tangan atas beberapa faktor.

BACA LAGI: 'Kotor 10 saat, tapi sakit 10 hari', silap cara pengendalian boleh undang keracunan makanan

BACA LAGI: Kunci jam 4 pagi nak balas mesej pelanggan, 2 beradik jana pendapatan RM9.5 juta setahun usahakan bisnes Repair.sg

Glove mudah koyak masa uli. Koyakan kecil itu boleh masuk dalam doh, selain glove sangat senang melekat pada roti.

"Bila pakai glove juga, tangan tak dapat rasa tekstur doh dan menyebabkan kualiti roti jadi kurang konsisten,” katanya.

Dia menjelaskan, persepsi bahawa menggunakan sarung tangan lebih bersih sebenarnya kurang tepat kerana sarung tangan boleh membawa lebih banyak bakteria apabila dipakai menyentuh pelbagai permukaan pada satu-satu masa.

Sebaliknya, premisnya mengamalkan prosedur operasi standard yang ketat apabila mengendalikan doh.

“Kami diwajibkan membasuh dan sanitasi tangan sebelum menguli. Ini lebih selamat dan memang standard industri,” katanya.

Seorang bekas pekerja restoran piza terkenal turut berkongsi pengalaman bahawa prosedur pengendalian doh piza secara tradisional memang memerlukan sentuhan tangan bagi memastikan tekstur dan ketebalan yang tepat.

“Yang penting tangan bersih, kuku pendek, pakai hairnet dan tangan tiada apa-apa aksesori,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pengguna mencadangkan agar aspek kebersihan dipertingkatkan lagi dengan menggalakkan pekerja memakai mouth shield atau pelindung mulut.

Sebagai rekod, Auntie_Naan mengusahakan roti nan keju mozarella sejuk beku yang dijual pada RM27 untuk lapan keping, selain turut menawarkan produk garlic spread. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram