PEMINJAM Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada keluarga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) merekodkan bayaran balik tertinggi serta jumlah tunggakan terbesar.
Perkara itu diberitahu dalam Dewan Rakyat pada Isnin.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sehingga 31 Oktober, lebih 900,000 peminjam dalam kategori keluarga STR telah membuat bayaran balik berjumlah RM13.89 bilion.
Kumpulan itu juga merupakan yang paling konsisten membuat pembayaran mengikut jadual, dengan 450,522 peminjam melunaskan RM4.17 bilion sehingga akhir Oktober.
"Pada masa sama, kumpulan itu juga mencatat jumlah tunggakan tertinggi, iaitu RM10.23 bilion membabitkan 967,796 peminjam,” katanya pada Isnin (1 Disember).
Bagi peminjam daripada keluarga bukan penerima STR tetapi berpendapatan bulanan bawah RM8,000, beliau berkata, sebanyak 58,971 telah menyelesaikan pinjaman berjumlah RM703.45 juta.
Sebanyak RM657.79 juta berjaya dikutip daripada 131,386 peminjam dalam kategori berkenaan yang konsisten membayar mengikut jadual.
Jumlah tunggakan bagi kumpulan terbabit pula ialah RM539.35 juta melibatkan 156,315 individu.
Sementara itu, bagi peminjam daripada keluarga berpendapatan melebihi RM8,000, seramai 136,156 individu telah melangsaikan pinjaman masing-masing dengan jumlah keseluruhan RM1.54 bilion.
Menurut Mustapha, 39,374 peminjam dalam kategori pendapatan itu telah membayar RM362.36 juta mengikut jadual, manakala tunggakan bagi kumpulan ini berjumlah RM257.56 juta dengan melibatkan lebih 64,000 peminjam.
“Pangkalan data PTPTN tidak menyimpan maklumat pendapatan bulanan peminjam, kerana rekod hanya berdasarkan status semasa permohonan dan pendapatan ibu bapa atau penjaga,” katanya.
Tan Kar Hing (PH–Gopeng) terdahulu meminta penjelasan mengenai kadar bayaran balik PTPTN mengikut pendapatan peminjam, termasuk pecahan pendapatan mengikut kategori B40, M40 dan T20.
Tan turut mencadangkan pengecualian bayaran balik bagi peminjam yang berkhidmat di kawasan luar bandar atau sektor kritikal selaras dengan model pengecualian berasaskan perkhidmatan.
Mustapha berkata, cadangan itu baik untuk dipertimbangkan.
“Namun ia bergantung kepada kemampuan PTPTN berdasarkan model pembiayaannya,” tambahnya. — The Star / RAGANANTHINI VETHASALAM dan KHOO GEK SAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
