RIBUT Tropika Senyar kini disahkan sudah tidak lagi berada dalam perairan atau kawasan Malaysia, menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip.
"Boleh kata dah mati. Kesannya yang tinggal cuma hujan sahaja," memetik laporan Berita Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, MetMalaysia memaklumkan ribut berkenaan mendarat di kawasan pantai antara Selangor dan Negeri Sembilan pada pukul 12.30 tengah malam, Khamis dengan kelajuan angin maksimum 65 kilometer sejam (km/j).
BACA LAGI: Ribut Tropika Senyar dijangka landa Semenanjung sehingga Sabtu — MetMalaysia
BACA LAGI: Dihalau keluar hotel ketika banjir Hat Yai, netizen berdebat isu empati dan degil amaran cuaca
Pada sidang media pada Khamis, Mohd Hisham berkata ribut itu mula memasuki ruang udara negara sejak pukul 3 petang dan dijangka mencetuskan hujan lebat berterusan bermula tengah malam, terutamanya di Perak, Selangor dan sebahagian kawasan Pahang.
Menurutnya, ribut tropika tersebut mula memberi kesan di Indonesia sejak pukul 3.30 petang sebelum memasuki Semenanjung dan bergerak menuju Laut China Selatan.
Sementara itu, MetMalaysia pada Jumaat mengeluarkan nasihat berkaitan Lekukan Tropika baharu yang dikesan pada pukul 11 pagi ini di latitud 4.0 utara dan longitud 10.4.0 timur.
Lekukan tropika tersebut bergerak ke arah timur Semenanjung dengan kelajuan 5 km/j dan boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 56 km/j.
"Jarak lekukan tropika itu dari bandar terdekat adalah kira-kira 81 kilometer ke timur laut Kuantan, Pahang.
"Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan,” menurut kenyataan MetMalaysia.
Mohd Hisham menjelaskan, lekukan tropika baharu itu dikesan di perairan luar Kuantan dan memberi impak di kawasan pesisir pantai antara Pahang dan Terengganu.
Namun begitu, beliau menegaskan lekukan berkenaan dijangka bergerak menjauhi Malaysia dan kesannya tidak seteruk Ribut Tropika Senyar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
