GUNUNG Berapi Hayli Gubbi di Ethiopia kembali meletus selepas lebih 10,000 tahun tidak aktif apabila letusan pertamanya menjulang kepulan abu tebal, menutupi langit Afar.
Fenomena jarang berlaku itu mengejutkan komuniti saintifik yang menyifatkannya sebagai antara letusan paling signifikan di rantau berkenaan.
Menurut laporan berita antarabangsa News.Az, letusan itu berlaku sekitar pukul 8.30 pagi waktu tempatan pada Ahad.
Sementara itu, Pusat Amaran Abu Gunung Berapi Toulouse (VAAC) melaporkan, letusan gunung berapi itu turut mencetuskan kepulan abu setinggi 14 kilometer serta pelepasan gas sulfur dioksida ke atmosfera.
VAAC dalam kemas kini terbaharu memaklumkan aktiviti letusan sudah berhenti, namun imej satelit menunjukkan kepulan abu pada paras rendah terus bergerak merentasi Laut Merah menuju ke Oman, Djibouti dan Yaman.
Hayli Gubbi Volcano erupts in northeastern Ethiopia — no eruptions recorded in 10,000 years pic.twitter.com/HtGe4tulUT
— Lord Bebo (@MyLordBebo) November 24, 2025
Pergerakan kepulan abu itu menyebabkan beberapa amaran dikeluarkan kepada sektor penerbangan bagi mengelakkan risiko kepada laluan udara.
Pada masa sama, abu pada paras lebih tinggi dijangka terbawa angin jauh ke beberapa negara Asia Selatan dan Asia Barat termasuk Pakistan, Iran dan India, bergantung kepada arah tiupan angin semasa.
Gunung berapi Hayli Gubbi terletak di tenggara rangkaian Erta Ale dalam Rift Afar, kawasan yang dikenali sebagai antara zon gunung berapi paling aktif di Afrika Timur.
Walaupun begitu, Hayli Gubbi sendiri telah lama tidak menunjukkan sebarang aktiviti sehingga letusan terbaharu ini dianggap luar biasa oleh pakar geologi.
Setakat ini, pihak berkuasa Ethiopia mengesahkan tiada laporan kerosakan terhadap komuniti setempat atau gangguan ketara terhadap operasi penerbangan antarabangsa.
Pemantauan terus dijalankan bagi mengesan sebarang aktiviti susulan atau perubahan pada struktur gunung berapi tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
