Insiden kereta dihempap besi, pembinaan ECRL di MRR2 dihenti sementara


  • Massa
  • Rabu, 19 Nov 2025

Runtuhan struktur sementara jenis 'temporary steel canopy' pada Selasa. — Ihsan Bomba

MALAYSIA Rail Link Sdn Bhd (MRL) memaklumkan kerja-kerja pembinaan di kawasan yang terjejas susulan insiden bahan binaan menghempap sebuah kereta yang sedang bergerak telah dihentikan serta-merta

Pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) itu berkata, sebuah kanopi keluli sementara telah jatuh di sepanjang Jalan MRR2 menghala ke Batu Caves pada Selasa. 

Kejadian berkenaan menyebabkan sebuah kenderaan jenis Suzuki Swift kemik dihempap himpunan besi pada kira-kira pukul 2 petang semalam di kawasan terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Rider kongsi detik cemas nampak besi jatuh, bomba sahkan runtuhan ECRL hempap Suzuki Swift di MRR2

BACA LAGI: Tular dakwaan warga Pakistan miliki IC di Sabah, JPN dah jawab 5 bulan lepas

"Sebagai langkah keselamatan, semua kerja pembinaan di kawasan terjejas telah dihentikan sementara menunggu siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan.

"Berdasarkan maklumat semasa, pemandu kenderaan yang terlibat berada dalam keadaan selamat.

"ECRL akan menyediakan bantuan kewangan segera kepada pemilik kenderaan bagi meringankan beban mereka sementara menunggu hasil siasatan pihak berkuasa dan proses tuntutan berkaitan.

:Kerja-kerja pembersihan dan pengalihan struktur sementara tersebut telah berjaya dilaksanakan di bawah seliaan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. 

Ia menambah bahawa struktur yang jatuh itu digunakan untuk mengelakkan sisa pembinaan daripada jatuh ke atas jalan.

"ECRL komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa yang terlibat dalam siasatan yang sedang dijalankan serta memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi.

"Keutamaan kami adalah keselamatan pengguna jalan raya, orang awam dan para pekerja projek," tambahnya. 

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis berkata, pemandu kereta berkenaan merupakan seorang wanita telah dibantu keluar dari kenderaan sebaik sahaja anggota bomba tiba.

Beliau menambah bahawa mangsa yang tidak mengalami kecederaan tidak mendapatkan rawatan hospital selepas insiden yang berlaku pada waktu petang itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram