SEBUAH video tular di media sosial memaparkan kejadian ngeri apabila sebuah kereta dilihat kemik selepas dihempap timbunan besi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Plaza Tol Gombak, Selangor pada Selasa.
Video yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp memaparkan kereta berwarna kelabu itu mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang, atas dan sedikit bahagian depan.
Seorang saksi yang berada berhampiran berkata, dia sempat menyaksikan sendiri kereta itu dihimpap timbunan besi dan bersyukur kerana pemandu masih terselamat.
BACA LAGI: Tular dakwaan warga Pakistan miliki IC di Sabah, JPN dah jawab 5 bulan lepas
BACA LAGI: Tular caj RM1,016 sejauh 2.9 km, Grab respons isu gangguan sistem
“Saya betul-betul di bawah ini. Depan mata saya betul-betul. Nasib baik pemandu dia hidup lagi,” kata seorang saksi yang berada di lokasi kejadian, menceritakan detik-detik cemas ketika kejadian berlaku.
Berdasarkan video tular, pemandu kereta terbabit yang dilaporkan selamat daripada insiden itu adalah seorang wanita.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1.47 tengah hari sebelum pihaknya menerima panggilan kecemasan.
Difahamkan mangsa merupakan seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang memandu kereta jenis Suzuki Swift.
Menurut Ahmad Mukhlis, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang segera digerakkan ke lokasi kejadian sejurus panggilan diterima.
"Setibanya pasukan di lokasi, runtuhan binaan ECRL didapati menghempap sebuah kereta Suzuki Swift.
"Mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba," katanya.
Seramai tujuh anggota bomba bersama dua jentera terlibat dalam operasi tersebut. Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca insiden. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
