RADIO Televisyen Malaysia (RTM) menegaskan tiada sebarang perlakuan, kemesraan atau elemen yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis dalam siri animasi Santiago of the Seas seperti yang tular di media sosial.
Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Penyiaran Malaysia dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan bahawa semakan dan Penilaian Kandungan terhadap episod 22 animasi berkenaan yang disiarkan di TV2 pada pukul 10 pagi, 16 November (Ahad) tidak menemukan sebarang babak seperti yang didakwa.
Bagaimanapun, bagi mengelakkan kekeliruan serta menangani sensitiviti masyarakat, RTM memutuskan untuk menghentikan sementara siaran animasi tersebut bagi menjalankan penelitian menyeluruh terhadap keseluruhan kandungannya.
BACA LAGI: 'Ini ke yang diajar pada anak kita?' Tayangan kartun kurang senonoh undang kebimbangan ibu bapa

Kartun popular kanak-kanak, Santiago of the Seas memaparkan babak yang didakwa berunsur LGBT.
“RTM kekal komited memastikan semua kandungan yang disiarkan mematuhi etika penyiaran dan tidak menimbulkan ketidaksenangan kepada mana-mana pihak,” katanya.
RTM turut meminta semua pihak supaya tidak membuat spekulasi tidak berasas dan menggesa agar rujukan dibuat terus kepada RTM untuk mendapatkan maklumat yang sahih.
Terdahulu, pengguna media sosial meluahkan kebimbangan selepas mendakwa terdapat adegan berunsur lesbian, gay, biseksual serta transgender (LGBT) dalam siri Santiago of the Seas yang disiarkan di TV2 sehingga mendesak tindakan segera pihak berwajib. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
