SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius laporan Reuters yang mendedahkan bahawa syarikat Meta memperoleh keuntungan daripada iklan berkaitan penipuan, perjudian dalam talian, dan aktiviti haram.
MCMC berkata, pihaknya akan memanggil Meta bagi mendapatkan penjelasan rasmi serta memulakan siasatan.
"Sekiranya pendedahan itu terbukti benar, ia dianggap pelanggaran serius terhadap undang-undang negara dan kepercayaan awam.
BACA LAGI : UPSR perlu dikembalikan, nilai prestasi pelajar secara menyeluruh selaras AI — Mahdzir Khalid
BACA LAGI : [VIDEO] 'Anak demam tak boleh tidur', bapa kesal individu main telefon kuat-kuat dalam wad walau dah ditegur
"Sebelum ini, MCMC mengadakan sesi libat urus dengan beberapa platform media sosial utama, termasuk Meta, bagi membincangkan isu iklan penipuan dan perjudian dalam talian.
"Dalam sesi tersebut, MCMC menekankan kebimbangan terhadap jumlah permintaan penurunan kandungan kepada Meta yang jauh lebih tinggi berbanding platform lain," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

MCMC menasihati Meta agar lebih proaktif membanteras aktiviti penipuan dan perjudian dalam talian kerana langkah sedia ada masih belum mencukupi. — Gambar Hiasan
Dalam tempoh 1 Januari hingga 4 November 2025, MCMC mengemukakan 157,208 permintaan kepada Meta untuk menurunkan iklan berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang dan 44,922 permintaan berkaitan iklan penipuan.
Sebagai perbandingan, jumlah permintaan kepada TikTok ialah 3,956, Telegram 269, X (dahulunya Twitter) 11, dan YouTube 45,448.
MCMC menasihati Meta agar lebih proaktif membanteras aktiviti penipuan dan perjudian dalam talian kerana langkah sedia ada masih belum mencukupi dan aktiviti ini terus memberi kesan negatif kepada masyarakat.
"Bagi memastikan keselamatan dalam talian lebih berkesan, MCMC menegaskan bahawa semua platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet perlu dilesenkan secara sah.
"Mereka juga perlu membuktikan sistem serta langkah-langkah pencegahan aktiviti haram, termasuk melaksanakan pengesahan identiti pengguna bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.
"Sekiranya terbukti mana-mana platform sengaja membantu atau bersubahat dalam aktiviti menyalahi undang-undang, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang negara," tegas MCMC.
Sebelum ini, CNBC News melaporkan Meta mengunjurkan 10 peratus daripada keseluruhan jualannya pada 2024, atau kira-kira AS$16 bilion (RM67 bilion) dipacu oleh iklan online bagi produk penipuan dan yang diharamkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
