DUA pemain golf wanita negara bermula dengan baik dengan menempatkan diri dalam kelompok 25 terbaik pada hari pertama Kejohanan Maybank 2025 yang berlangsung di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) pada Khamis.
Kejohanan di bawah kalendar Persatuan Profesional Golf Wanita (LPGA) itu menyaksikan bakat muda negara, Mirabel Ting meraih lima pukulan di bawah par (-5), dibezakan tiga pukulan dengan pendahulu, Choi Hye-jin dari Korea Selatan.
Mirabel Ting kini menduduki tempat ke-11, berkongsi tempat dengan 10 lagi pemain termasuk bekas pemain nombor satu dunia, Lydia Ko dari Australia.
BACA LAGI: [VIDEO] Tuah pertama kali main di Malaysia, Kritchanya mahu fokus Maybank Championship 2025
BACA LAGI: Dua wakil negara, pemenang emas Olimpik antara 78 peserta berentap Kejohanan Golf Maybank 2024
Seorang lagi wakil negara, Liyana Durisic mencatatkan -4 untuk mendiami kelompok 21 terbaik setakat ini.
Liyana dan Mirabel antara 5 pemain Malaysia yang beraksi di salah satu kejohanan berprestij di rantau Asia Tenggara.
Tiga lagi pemain wanita negara, Kelly Tan, Genevieve Ling dan Ashley Lau juga bermula baik dengan catatan di bawah par.
Kelly dan Genevieve mencatatkan keputusan -3 manakala Ashley merekodkan catatan -2.

Liyana juga bermula baik dengan catatan -4 pada hari pertama Kejohanan Maybank 2025. — Gambar Fail.
Mengulas tentang persembahan hari pertama, Mirabel berkata, dia berasa lega untuk berada dalam kelompok 10 pemain teratas tetapi tetap berwaspada kerana masih berbaki 54 lubang untuk ditempuhi.
"Saya cuba tidak selalu melihat kedudukan di carta dan fokus kepada pemainan. Saya bermula baik pada awal permainan dengan mendapat birdie di lubang pertama dan saya cuba bertenang untuk mendapatkan birdie yang seterusnya," kata pemain berusia 20 tahun itu.
Sementara itu, rakan senegara, Liyana pula mahu mengekalkan momentum seperti yang dilakukan pada hari pertama kejohanan.
"Sama saja. Cari fairway, green dan dua putt.
"Jika saya dapat birdie, itu bagus. Jika tidak, tak mengapa. Dapatkan par dan fokus lubang seterusnya. Apa yang penting saya perlu kuatkan mental dan segalanya akan baik-baik saja," katanya.
Kejohanan Maybank 2025 berlangsung bermula 30 Oktober sehingga 2 November ini dengan menyaksikan kehadiran bintang golf terkemuka seperti Jeeno Thitikul dari Thailand, Brooke Henderson dari Kanada dan Grace Kim dari Australia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel danTelegram
