
LEMBAGA Sawit Malaysia (MPOB) menegaskan bahawa tuduhan negatif Kesatuan Eropah (EU) terhadap industri sawit negara adalah tidak berasas, sebaliknya berjaya 'dipatahkan' melalui hasil kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan secara berterusan.
Pengarah Bahagian Pengembangan Pekebun Kecil & Pensijilan (SECD) MPOB, Dr. Mohd Hefni Rusli berkata, sejak beberapa tahun lalu EU sering melemparkan dakwaan berkaitan isu alam sekitar dan kelestarian terhadap Malaysia.
Namun, bukti saintifik yang dihasilkan oleh MPOB berjaya menyangkal dakwaan tersebut.
BACA LAGI: Tampil 'avant-garde' di acara fesyen, hak masing-masing ekspresi diri atau bergaya perlu ada batas?
BACA LAGI: Bau badan semula jadi indikasi status kaya atau papa?
Kempen Jejalah Sawit Hijau MPOGCF yang diadakan di Terengganu berjaya menarik perhatian dan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat. — Facebook MPOGCF
“Bagi pihak MPOB dan Malaysia, apa yang kita buat adalah menafikan isu-isu tersebut melalui kajian-kajian R&D yang dilakukan.
"Melalui kajian ini, kita dapat menepis tuduhan berkenaan dan membuktikan bahawa industri sawit Malaysia sebenarnya mengamalkan kelestarian,” jelas beliau kepada Majoriti ketika ditemui di Jelajah Sawit Hijau siri kedua dekat Terengganu pada Sabtu lalu.
Beliau berkata, walaupun EU memperkenalkan European Union Deforestation Regulation (EUDR) pada 2020 yang menekankan aspek kelestarian, penjagaan pekerja dan alam sekitar di Malaysia telah lebih awal melaksanakan inisiatif melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
MSPO merupakan inisiatif kerajaan Malaysia untuk memastikan industri sawit negara kekal lestari. Kita sudah bergerak ke arah itu sebelum EUDR diwujudkan lagi,” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan peranan lebih 200,000 pekebun kecil yang mengusahakan kira-kira 8,000 hektar ladang sawit di seluruh negara.
MPOB katanya, bertanggungjawab memastikan pekebun kecil mengamalkan aktiviti pertanian secara mampan.
“Mesej kami jelas. Apabila menjalankan aktiviti penanaman sawit, ia mestilah dilakukan secara lestari dan mematuhi Amalan Pertanian Baik (APB).
"Apabila industri mengamalkan APB, hasil akan meningkat dan pada masa sama alam sekitar terpelihara,” katanya.
Bagi memperkukuh kefahaman dan kemahiran pekebun kecil, MPOB menjalankan pelbagai inisiatif pendidikan seperti bengkel, kelas, program kesedaran dan kerjasama dengan agensi lain.
Dalam masa sama, dana daripada Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit (MPOGCF) turut digunakan bagi menyokong usaha memperkasa pekebun kecil.
“Melalui MPOGCF, sebanyak RM1 daripada dana ses (cukai khas) industri disalurkan untuk membantu pekebun kecil memahami dan melaksanakan amalan kelestarian,” tambah beliau.
Beliau menegaskan bahawa usaha bersepadu ini membuktikan komitmen Malaysia terhadap kelestarian industri sawit sekali gus menolak persepsi negatif di peringkat antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram