ANAK syarikat negeri Terengganu, TDM Plantation Berhad melalui projek River of Life memperkukuhkan usaha pemuliharaan sungai dan kawalan pergerakan gajah liar dengan sokongan teknikal serta kepakaran daripada Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).
Menurut Pengurus Projek River of Life TDM, Mohd Salwadi Mazlan, kolaborasi itu membolehkan TDM menggabungkan pengalaman lapangan dengan kepakaran saintifik dalam memulihara alam sekitar.
"Sokongan MPOGCF merangkumi kemahiran teknikal, pengalaman dalam pengurusan ekosistem air dan strategi pemuliharaan hidupan liar.
"Kepakaran mereka kami gabungkan dengan sumber dan pengetahuan TDM, membolehkan projek itu dijalankan secara lebih berkesan," jelasnya kepada Majoriti ketika ditemui pada program Jelajah Sawit Hijau anjuran MPOGCF di Mayang Mall, Kuala Terengganu, Terengganu Ogos lalu.
BACA LAGI: Jangan terpedaya kolam renang saiz Olimpik, ketahui 5 realiti 'pahit' sebelum beli rumah 'high-rise'

Salwadi (tiga dari kanan) dan Luqman (lima dari kanan) dalam sesi pod siar di Jelajah Sawit Hijau anjuran MPOGCF di Terengganu Ogos lalu. — Facebook/Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation
Tambah beliau, nasihat dan bimbingan MPOGCF memberi suntikan strategik kepada TDM dalam memastikan sungai-sungai semula jadi di bawah mereka seperti Sungai Tayur, Sungai Tong dan Sungai Jernih terpelihara.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, daerah Kemaman kini dikenal pasti sebagai hotspot aktiviti pencerobohan gajah yang secara tidak langsung menimbulkan cabaran serta ancaman kepada komuniti setempat.
"Kebelakangan ini, kami lihat banyak pencerobohan berlaku di sekitar daerah Kemaman. Populasi gajah di situ memang padat dan aktiviti pencerobohan semakin kerap berlaku," ujarnya.
Disebabkan itu, TDM sentiasa berusaha memastikan keseimbangan dapat dikekalkan dalam soal keselamatan penduduk dan mengawal populasi gajah liar agar konflik tidak tercetus antara kedua-dua golongan itu.
Bagi menjamin kesejahteraan bersama, TDM dan MPOGFC bekerjasama dengan mengawal pergerakan gajah liar untuk membolehkan mereka memberi amaran awal jika haiwan tersebut memasuki kawasan penduduk.
Mengulas lanjut, Pengurus Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Sistem Kedudukan Global (GPS) TDM yang juga Pengurus Projek Living Together with Elephant, Luqman Mohamed berkata, MPOGCF memainkan peranan penting dalam membantu menangani masalah tersebut melalui MOU 2021, termasuk peruntukan dana dan sokongan teknikal.
Sebagai inisiatif, TDM mencuba beberapa teknik untuk mengurangkan intrusi gajah, antaranya pemasangan pagar elektrik beehive bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan penggunaan kolar gajah.

Melalui pendekatan edutainment di Jelajah Sawit Hijau, TDM memberi pengalaman interaktif kepada pengunjung sambil menekankan kelestarian sawit dan hidupan liar. — Facebook/TDM Berhad
Sejak memulakan program itu katanya, dua unit kolar berjaya dipasang dengan kerjasama Jabatan Perhilitan.
"Data daripada kolar gajah ini diintegrasi sebagai early warning system bagi mengurangkan insiden pencerobohan ke kawasan ladang kelapa sawit sehingga 40 peratus.
"Selain itu, data geolokasi dianalisis untuk memahami pergerakan kumpulan gajah dan dikongsi dengan Perhilitan serta komuniti sekitar," jelas Luqman.
Beliau menambah, maklumat kedudukan gajah yang dikongsi kepada pemegang taruh termasuk komuniti kampung dan ladang berhampiran membantu mengurangkan konflik antara gajah dan manusia, sekali gus memberi impak positif kepada masyarakat sekitar kawasan operasi TDM.
Isu berkenaan diketengahkan kepada masyarakat melalui siri kedua Jelajah Sawit Hijau MPOGCF yang menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan (edutainment) dengan anjuran bersama radio pilihan ramai, Suria FM dan portal berita Majoriti yang bernaung di bawah Star Media Group.
Pendekatan itu bertujuan mendekatkan pengunjung dengan konsep kelestarian sawit serta pemuliharaan hidupan liar.
Program itu menarik kehadiran ramai pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat yang turut disajikan dengan aktiviti interaktif seperti kuiz, permainan mencocok gambar, pameran dan sesi beramah mesra bersama penyampai Suria FM untuk lebih memahami usaha pemuliharaan alam sekitar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
