TULAR di media sosial luahan seorang pelanggan yang mendakwa dikenakan caj berlebihan ketika menjamu selera di sebuah kedai ikan bakar popular di Alai, Melaka yang sememangnya merupakan destinasi terkenal hidangan makanan laut.
Menurut perkongsian akaun Diari Melaka di Facebook, pelanggan itu menceritakan pengalaman tidak menyenangkan apabila jumlah bil berubah selepas dia meminta resit rasmi daripada kedai berkenaan.
“Mula-mula dia kira RM325. Lepas saya minta resit daripada mesin juruwang, tiba-tiba jadi RM259.85 (termasuk SST).
“Kira tulis atas kertas lain. Saya suruh kira sekali lagi dan minta resit (juruwang) harga lain. Lepas ini, kalau makan di sini elok mintalah resit," katanya.
BACA LAGI: Restoran ikan bakar di Melaka akui silap kira bil, juruwang mohon maaf secara peribadi

Sepinggan sotong yang dicaj RM58 manakala udang pula dikenakan caj RM92. — FB Diari Melaka
Menerusi resit itu, dapat dilihat dia dikenakan caj RM92 bagi hidangan udang, kerang (RM28), ikan jenak (RM68), sotong (RM58) dan ketam (RM58), manakala ayam kunyit (RM10).
Dia turut meluahkan rasa kesal kerana sebagai pelanggan tetap, dia selalu singgah untuk menjamu selera makanan laut di kedai ikan bakar itu bagi menyokong perniagaan berkenaan.
"Saya selalu makan di sini. Memang antara kedai ikan bakar terbaik di Melaka.
"Servis laju, kualiti (makanan) pun bagus, tapi janganlah kira manual lagi. Ini (salah kira) tapi minta maaf pun tidak,” tulisnya.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang menasihatkan orang ramai supaya sentiasa meminta resit apabila mengunjungi kedai makanan laut.
Seorang pengguna Facebook, Lis Nursalam berkata, dia juga pernah berdepan pengalaman sama ketika ke Melaka untuk menikmati makanan laut.
Dia menasihatkan pelanggan supaya selain meminta resit, buat juga rakaman video semasa memilih makanan laut yang ingin dinikmati di gerai makan yang dikunjungi.
"Beberapa kali terkena pilih timbang lain, yang dapat siap masak lain.
"Tunjuk rakaman video terdiam pemilik kedai. Harga (kita bayar) bukan murah tapi cecah ratusan ringgit," katanya.
Yahya Yusof pula berkata, kedainya sentiasa mewajibkan pemberian resit kepada pelanggan selepas pembayaran bagi mengelakkan sebarang isu.
“Nak tak nak kena paksa bagi resit, sebab tak nak jadi kes macam ni,” katanya.
Dalam pada itu, restoran terbabit tampil memohon maaf secara terbuka membabitkan isu terbabit dan mengakui berlaku kesilapan daripada pihak juruwang ketika melakukan pengiraan bil.
Restoran tersebut memandang serius perkara berkenaan dan telah menghubungi pelanggan yang terjejas secara 'direct message' bagi menjelaskan situasi sebenar.
Juruwang yang terlibat juga telah tampil memohon maaf secara peribadi kepada pelanggan terbabit selepas semakan dalaman dibuat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
