Berdebar ingatkan scam, usahawan barangan kulit tak sangka terima tempahan dari Istana Negara


  • Bisnes
  • Khamis, 30 Okt 2025

Tempahan penanda buku yang dihasilkan khas buat Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia. — Kulik Craft

SEORANG peniaga barangan kulit tidak menyangka tempahan kecil yang diterima akan menjadi antara pengalaman paling berharga dalam perjalanan perniagaannya.

Pengasas Kulik Craft tu berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis pengiring dari Istana Negara.

Dia mengakui, pada mulanya dia mengesyaki ia mungkin cubaan penipuan (scam), namun tanpa diketahui, ia rupa-rupanya membawa rezeki yang tidak disangka-sangka.

BACA LAGI: Dari kuih 3 sekawan hingga sambal hitam, Pekan Sehari nadi ekonomi komuniti Temerloh

BACA LAGI: The Beast guna Petronas, ramai bangga kenderaan perisai bawa Trump sokong jenama tempatan

Selain penanda buku, Kulik Craft turut menghasilkan barangan kulit seperti beg tangan wanita.  — Kulik Craft

“Semalam saya dapat satu panggilan. Katanya dari pegawai pengiring Istana Negara. 

“Dalam hati, saya terus fikir, ini mesti nak scam aku tapi dengar la juga apa yang dia nak," kongsinya di Threads.

Namun, dia tidak menyangka bahawa panggilan tersebut ternyata benar. 

Pegawai polis berkenaan memaklumkan hasrat untuk menempah penanda buku kulit premium bagi dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia yang menurutnya amat gemar membaca.

“Dipendekkan cerita, bayaran dibuat serta-merta. Saya terus siapkan tempahan dan hantar guna Lalamove. Alhamdulillah, bukan scam,” ujarnya penuh syukur.

Kulik Craft menghasilkan penanda buku yang daripada kulit yang bukan sahaja berfungsi sebagai alat penanda bacaan, tetapi turut menyerlahkan sentuhan peribadi.

Ini kerana ia turut disertakan kemasan ukiran kata (custom quote) dan inisial nama pelanggan.

"Warna juga boleh dipilih mengikut cita rasa pelanggan," ujarnya.

Dijual pada harga RM65 untuk satu set (tiga keping), setiap rekaan mencerminkan ketelitian kerja tangan serta cita rasa elegan yang menjadi identiti produk tempatan ini.

Sarung pen daripada kulit premium antara produk yang dihasilkan Kulik Craft.

Selain penanda buku, usahawan itu turut menawarkan pelbagai barangan kulit lain seperti sarung pen, dompet, tali pinggang dan beg tangan, semuanya berasaskan konsep buatan tangan berkualiti tinggi.

Dia tidak menyangka perkongsian kisah tempahan dari Istana Negara itu mendapat perhatian ramai selepas disiarkan di platform Threads. 

Katanya, dalam tempoh 24 jam, hantaran berkenaan meraih lebih 2,000 tanda suka dan 190 ulang siar (repost).

Rata-rata warga maya membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah serta kata semangat, menyatakan rasa bangga terhadap hasil kerja tangan usahawan tempatan yang kini mendapat pengiktirafan tertinggi.

“Tak sangka posting tu boleh viral. Ramai yang bagi kata semangat dan teruskan sokongan,” ujarnya lagi.

Kisah itu menjadi bukti bahawa rezeki boleh datang dari arah yang tidak disangka, dan kejujuran serta kesungguhan dalam menjalankan perniagaan mampu membuka pintu peluang yang lebih luas.

Apa yang pasti ia merupakan rezeki dan satu penghormatan besar apabila hasil kerja tangan yang diusahakan secara kecil-kecilan itu akhirnya sampai ke tangan Permaisuri Agong. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram