 
                                                DI sebalik timbunan pakaian kotor yang perlu dibasuh saban minggu, tersembunyi kisah kepayahan yang perlu ditempuhi segelintir penduduk terutamanya di kawasan miskin dan terpinggir.
Bagi ramai wanita dan kanak-kanak perempuan, mencuci pakaian bukan sekadar rutin harian. Ia tugas berat yang boleh mengambil masa sehingga 20 jam seminggu sekali gus mengorbankan waktu berharga yang sepatutnya boleh digunakan untuk belajar, bekerja, atau berehat.
Namun, satu inovasi ringkas telah mula mengubah realiti itu.
BACA LAGI: Dari kuih 3 sekawan hingga sambal hitam, Pekan Sehari nadi ekonomi komuniti Temerloh
BACA LAGI: Peniaga Pasar Seni mengeluh jualan hambar, dakwa terjejas akibat lambakan produk dari China

Mesin basuh Divya direka untuk memenuhi keperluan asas komuniti yang tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik stabil. — TWP
The Washing Machine Project (TWMP), sebuah perusahaan sosial berpangkalan di United Kingdom, diasaskan dengan matlamat jelas bertujuan menyediakan penyelesaian berpatutan, praktikal dan berdikari untuk komuniti yang memerlukan di seluruh dunia.
Segalanya bermula dengan seorang jurutera aeroangkasa, Navjot Sawhney, yang ketika itu berkhidmat di syarikat teknologi terkenal, Dyson.
Ketika menjadi sukarelawan di selatan India, Navjot menyaksikan sendiri jirannya, Divya, seorang wanita yang setiap hari menghabiskan masa berjam-jam mencuci pakaian dengan tangan.
Melihat kepayahan itu sendiri, Navjot berasa tersentuh dan berjanji akan membina sebuah mesin basuh khas untuknya tanpa perlu bergantung kepada elektrik atau sumber air yang banyak.
Sekembalinya ke United Kingdom, Navjot menghasilkan prototaip pertama mesin basuh manual dari dapur rumah ibunya sebelum menamakan alat itu dengan nama 'Divya' sebagai tanda penghargaan kepada wanita yang menginspirasikannya.
Mesin basuh Divya direka untuk memenuhi keperluan asas komuniti yang tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik stabil. Ia digunakan secara manual melalui engkol tangan, menjadikannya mudah dioperasikan tanpa tenaga elektrik.
Lebih daripada itu, reka bentuknya yang ergonomik membolehkan pengguna mencuci pakaian dengan lebih cepat dan mudah selain menjimatkan masa sehingga 75 peatus berbanding cucian tangan.
Selain itu, ia menggunakan separuh air daripada kaedah tradisional serta sesuai dikendalikan oleh warga emas mahupun individu kurang upaya kerana tidak memerlukan tenaga besar.
Lebih menarik, mesin basuh manual itu mudah diselenggara, boleh dipasang sendiri dan dibaiki menggunakan peralatan asas.
Mesin itu juga dihantar dalam bentuk ‘flat pack’, memudahkan proses pengangkutan dan pemasangan di kawasan pedalaman.
Pengenalan mesin basuh manual itu membawa kesan yang jauh lebih mendalam daripada sekadar kemudahan mencuci pakaian.
Bagi ramai wanita di kawasan terpencil, ia memberi peluang untuk mengatur semula kehidupan, mengurangkan beban kerja rumah dan membolehkan mereka menumpukan masa kepada pendidikan, pekerjaan atau keluarga.

Golongan wanita di kawasan terpencil tidak perlu lagi mengambil masa berjam-jam untuk mencuci baju dengan adanya mesin Divya.
Selain itu, aktiviti mencuci secara tradisional yang dilakukan dalam posisi mencangkung berjam-jam hingga menyebabkan sakit belakang, masalah sendi dan iritasi kulit, dapat dikurangkan dengan ketara menerusi penggunaan mesin berkenaan.
Apa yang lebih berharga ialah masa yang dijimatkan juga membuka ruang kepada peluang ekonomi baharu apabila ia memberi peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan dan memperbaiki taraf hidup keluarga.
Dalam konteks lebih luas, penggunaan mesin itu turut menyokong amalan air, sanitasi dan kebersihan yang lebih baik dalam komuniti.
Sejak penubuhannya, The Washing Machine Project berkembang pesat melalui pelbagai kerjasama strategik.
Antaranya, satu perjanjian dengan Whirlpool Foundation bagi mengagihkan ribuan mesin basuh kepada komuniti memerlukan di seluruh dunia sekali gus memberi manfaat kepada lebih 150,000 individu dalam tempoh lima tahun.
TWMP turut bekerjasama dengan UNHCR, Oxfam dan Save the Children untuk menyalurkan mesin ke kem pelarian dan kawasan terpencil.
Setakat ini, mesin Divya telah digunakan di India, Iraq, Lubnan, Mexico, dan Uganda, dengan rancangan untuk memperluaskan jangkauan ke lebih banyak negara pada masa akan datang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
