PERMOHONAN bagi Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) untuk tahun 2026 akan dibuka semula mulai Sabtu, 1 November 2025, menurut laman web rasmi Bingkas Selangor.
Program yang diperkenalkan bagi membantu keluarga pasca-pandemik itu bakal meluaskan manfaat kepada 30,000 keluarga di seluruh negeri dengan pemberian bantuan sebanyak RM300 sebulan bagi keperluan asas dan alat pendidikan.
Menurut kenyataan di laman web itu, pemohon boleh membuat permohonan melalui aplikasi SELangkah atau laman web rasmi BINGKAS.
BACA LAGI: Restoran ikan bakar di Melaka akui silap kira bil, juruwang mohon maaf secara peribadi

“Pemohon perlu memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan, antaranya pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 dan mempunyai sekurang-kurangnya dua tanggungan berumur bawah 18 tahun,” menurut kenyataan itu lagi.
Program BINGKAS dilaksanakan bagi meningkatkan kestabilan kewangan keluarga, mengurangkan cabaran ekonomi, serta memperkukuh keharmonian sosial dan kemakmuran rakyat Selangor.
Melalui bantuan ini, penerima akan menerima baki e-Wallet bernilai RM300 setiap bulan yang boleh digunakan di kedai dan pasar raya berdaftar untuk pembelian barangan keperluan asas secara tanpa tunai.
Nilai bantuan akan ditambah secara automatik setiap bulan, namun baki yang tidak digunakan tidak boleh dibawa ke bulan berikutnya.

Perkongsian @ayuuzainal di Threads mengenai bantuan BINGKAS yang diterima.
Antara syarat kelayakan utama termasuk:
- Warganegara Malaysia
- Pemilih berdaftar di Selangor
- Pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah
- Mempunyai sekurang-kurangnya dua anak atau tanggungan berumur 18 tahun ke bawah
- Lahir di Selangor atau menetap di negeri ini melebihi 10 tahun

Seorang penerima BINGKAS, ayuuzainal berkongsi kelebihan bantuan itu kerana dia sekeluarga boleh membuat pembelian barang basah seperti sayur, ayam, daging dan ikan.
Ia satu kelebihan berbanding bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang boleh digunakan untuk barangan runcit kering seperti beras, mi segera, biskut, tepung gandum, gula, garam, dan barangan dalam tin seperti sardin atau kacang panggang.
"Paling seronok kalau shopping guna BINGKAS. Sebab semua barang basah boleh beli. Setiap bulan dapat shopping RM300 bersyukur sangat dapat bantuan ini," katanya di Threads.
Maklumat lanjut dan permohonan boleh dilakukan melalui portal rasmi BINGKAS Selangor atau aplikasi SELangkah mulai 1 November ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
