Restoran ikan bakar di Melaka akui silap kira bil, juruwang mohon maaf secara peribadi


  • Bisnes
  • Jumaat, 31 Okt 2025

Restoran Muara Sg Duyung antara 'port' kedai ikan bakar popular di Alai yang sememangnya merupakan destinasi terkenal hidangan makanan laut.

KEDAI ikan bakar popular di Melaka, Restoran Muara Sg Duyung tampil memohon maaf secara terbuka selepas isu kesilapan caj harga terhadap pelanggan tular di laman Facebook Diari Melaka baru-baru ini.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, pihak pengurusan restoran mengakui berlaku kesilapan daripada pihak juruwang ketika melakukan pengiraan bil.

Restoran tersebut memandang serius perkara berkenaan dan telah menghubungi pelanggan yang terjejas secara 'direct message' bagi menjelaskan situasi sebenar serta memohon maaf.

BACA LAGI: ‘Kira manual lain, harga resit lain’, pelanggan kena caj RM325 makan di kedai ikan bakar di Melaka

BACA LAGI: Berdebar ingatkan scam, usahawan barangan kulit tak sangka terima tempahan dari Istana Negara

“Kami mengakui berlaku kesilapan daripada pihak juruwang dan telah segera menghubungi pelanggan yang terjejas untuk memohon maaf serta menjelaskan situasi sebenar.

"Kami sedar tiada siapa yang terlepas daripada melakukan kesilapan,” menurut kenyataan itu.

Pihak restoran turut memaklumkan bahawa juruwang yang terlibat telah tampil memohon maaf secara peribadi kepada pelanggan terbabit selepas semakan dalaman dibuat.

Sebagai langkah tanggungjawab, Restoran Muara Sungai Duyung turut menutup premis mereka selama satu hari pada 28 Oktober lalu bagi memberi ruang kepada pengurusan menjalankan tindakan pembetulan dan penambahbaikan terhadap mutu perkhidmatan.

"Kami akan bekerjasama untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang dan terus berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” jelas kenyataan itu lagi.

Restoran berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada pelanggan yang terus menyokong dan menegur dengan cara berhemah, sambil menegaskan komitmen mereka untuk memperkukuh kepercayaan pelanggan terhadap jenama tempatan itu. 

Majoriti sebelum ini melaporkan, seorang pelanggan kecewa selepas mendakwa dikenakan caj berlebihan ketika menjamu selera di sebuah kedai ikan bakar popular di Alai. 

Pelanggan terbabit dikenakan bayaran RM325 ketika kiraan dibuat secara manual, namun jumlah bil tiba-tiba jadi RM259.85 (termasuk SST) selepas dia meminta resit rasmi daripada mesin juruwang. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram